
WRUR: KLEBANG BERGEMA ALUNAN SELAWAT
KLEBANG 11 Oktober – Dataran Klebang, di sini, bergema dengan alunan selawat dan puji-pujian ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW bersempena program Klebang Berselawat.
Program kerohanian itu merupakan sebahagian pengisian pada Karnival Kita MADANI x Program MADANI Rakyat (PMR) Peringkat Negeri Melaka dan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang yang sedang berlangsung selama dua minggu dan berakhir pada 19 Oktober depan.
Sebaik bermula kira-kira jam 8 malam, ratusan umat Islam membanjiri tapak dataran bagi bersama-sama menyuburkan acara keagamaan yang sinonim dengan Negeri Melaka.
Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Pengarah Penerangan Negeri Melaka Mazli Hamdan serta lain-lain kenamaan.
Malam yang dimuliakan ini dimulakan dengan alunan selawat yang dipimpin oleh kumpulan Ahbabus Sham.
Ia disusuli dengan giliran Dato’ Dr. Hasan Mohamed Ali mengambil alih pentas bagi menyampaikan tausiah yang bertajuk ‘Perpaduan Teras MADANI Sejahtera’.
Majlis ilmu itu diakhiri dengan mahalul qiyam oleh kumpulan Ahbabus Sham bersama kenamaan yang hadir.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.