Sorting by

×

WRUR KLEBANG BUKA MATA PENTINGNYA KESIHATAN MENTAL

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

KLEBANG 5 Oktober – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang membuka tirainya dengan pengisian kesihatan sempena Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang, Datuk Wira Lim Ban Hong berkata, pemilihan program kesihatan sebagai pembukaan WRUR ini amat baik dan bertepatan dengan kesedaran masyarakat, khususnya terhadap isu kesihatan.

“Penganjuran program kesihatan sempena WRUR ini bukan sahaja mendekatkan pemimpin dengan masyarakat, malah memberi ruang kepada rakyat untuk menilai tahap kesihatan diri mereka sama ada daripada segi penjagaan mental atau fizikal.

“Jika kita inginkan kemajuan, kemakmuran, kesihatan adalah penting. Apabila rakyat sihat, mereka lebih bertenaga, kuat, cergas dan produktiviti. Maka, program kesihatan sebegini akan memberikan kesedaran kesihatan yang lebih baik kepada warganegara Klebang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Perasmian Pembukaan WRUR DUN Klebang dan Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia Peringkat Negeri Melaka 2025, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rambai, di sini, hari ini.

Majlis itu telah disempurnakan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem.

Hadir sama, Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Datuk Tuminah Kadi @ Mohd Hashim serta lain-lain kenamaan.

Menurut Ban Hong, sempena program itu, pelbagai pengisian dan aktiviti menarik telah dibawakan kepada rakyat, antaranya senaman aerobik, pameran kesihatan, pemeriksaan kesihatan, seminar kesihatan serta ceramah.

Beliau turut berharap agar rakyat di sekitar DUN Klebang dapat memanfaatkan lebih 100 program yang disediakan sepanjang dua minggu WRUR berlangsung sehingga 19 Oktober ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

326
Kongsi :
Previous post ‘PUTERI SANTUBONG’ DI MELAKA 1 NOVEMBER INI
Next post HIMPUNAN #STAND4SUMUD BERGEMA DI MELAKA!