Sorting by

×

WRUR KLEBANG FOKUS PERKASA PERTANIAN, PELANCONGAN MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

KLEBANG 6 Oktober – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang bakal memperkasa sektor pertanian dan pelancongan negeri Melaka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, Datuk Wira Lim Ban Hong berkata, pelaksanaan WRUR disesuaikan berdasarkan landskap kawasan masing-masing dan bagi DUN Klebang, penekanan diberikan kepada sektor pertanian dan pelancongan.

“Selain daripada aspek kesihatan yang kita beri tumpuan, Klebang juga mempunyai kawasan penanaman padi, sayur-sayuran dan buah-buahan serta jeti-jeti nelayan yang menjadi sumber ekonomi peniaga.

“Sesi bersama petani, pesawah, petani dan nelayan akan diadakan bagi memastikan mereka memahami dasar serta inisiatif kerajaan terkini yang boleh membantu meningkatkan hasil dan pendapatan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Perasmian Pembukaan WRUR DUN Klebang dan Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia Peringkat Negeri Melaka 2025, di SMK Bukit Rambai, semalam.

Majlis perasmian itu telah disempurnakan Exco Kesihatan Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem dan hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri Melaka Datuk Wira Salhah Salleh; Timbalan Exco Pembangunan Usahawan Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Datuk Tuminah Kadi @ Mohd Hashim; Pegawai Daerah Melaka Tengah Mohd Shaiful Hizam Johan serta lain-lain kenamaan.

Dalam pada itu, Ban Hong berkata, WRUR juga turut membuka peluang untuk mempromosikan destinasi serta produk pelancongan di kawasan Klebang.

“Saya mahu semua komuniti setempat turut sama berada dalam arus pembangunan sektor pelancongan negeri, terutamanya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.

Beliau turut menyeru orang ramai untuk hadir memeriahkan program WRUR yang berlangsung 5 hingga 19 Oktober, dengan lebih 100 pengisian program telah disusun untuk semua lapisan masyarakat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1112
Kongsi :
Previous post TEKANAN HIDUP, MASALAH KELUARGA ANTARA PUNCA UTAMA GANGGUAN MENTAL