
WRUR KLEBANG: JELAJAH MAIM KONGSI PERANAN BAITULMAL
KLEBANG 9 Oktober – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) mendukung aspirasi merakyatkan pentadbiran menerusi program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Klebang dengan pelbagai pengisian menarik sehingga 19 Oktober ini.
Ia termasuk program Jelajah Baitulmal yang menyelitkan sesi perkongsian berkaitan fungsi dan peranan institusi Baitulmal kepada umat Islam di peringkat akar umbi.
Siri jelajah itu diadakan di lapan buah masjid dan surau dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang bagi membolehkan jemaah setempat mendapat penerangan secara langsung berhubung peranan Baitulmal melalui pelbagai inisiatif dan kemudahan yang disediakan.
MAIM dalam satu kenyataan memaklumkan, sesi tersebut turut memperincikan sebanyak 13 perkhidmatan utama Baitulmal yang ditawarkan kepada masyarakat, antaranya pengiraan dan bayaran fidyah puasa, pengurusan wang tidak patuh syariah, serahan wang bagi pihak penghutang, serta penyewaan hartanah milik Baitulmal.
“Program sebegini merupakan salah satu usaha berterusan untuk memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap kepentingan institusi Baitulmal sebagai medium pembangunan sosioekonomi umat Islam, selain memastikan pengurusan harta dijalankan mengikut prinsip syariah.
“Maklumat yang dikongsikan dalam program ini dapat dimanfaatkan oleh jemaah yang hadir dan seterusnya disebarluaskan kepada komuniti setempat agar lebih ramai mendapat manfaat daripada perkhidmatan yang disediakan.
“Semoga informasi yang disampaikan memberi manfaat kepada jemaah yang hadir dan akan dihebahluaskan kepada masyarakat setempat,” kata kenyataan tersebut.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.