
WRUR: KLEBANG TERIMA PELBAGAI PROJEK BERMANFAAT UNTUK RAKYAT
KLEBANG 18 Oktober – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) terbukti menjadi antara inisiatif yang membawa limpahan manfaat besar dalam pelbagai aspek.
Ia bukan sahaja menyentuh soal kebajikan dan keperluan rakyat di sesuatu kawasan, bahkan turut membantu dalam aspek pembangunan dan ekonomi rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang Datuk Wira Lim Ban Hong berkata, perkara itu terbukti di Klebang, apabila pelbagai manfaat dan projek baharu telah diluluskan untuk keperluan segenap lapisan masyarakat.
Jelas beliau, selain pembinaan baharu jambatan dan pasar awam, WRUR juga membawa khabar gembira kepada pesawah dan petani apabila peruntukan RM2.3 juta telah diluluskan bagu membangunkan infrastruktur sokongan kepada sistem pengairan dan saliran di Kampung Pinang.
“Kampung Pinang telah dikenal pasti sebagai ‘water stress area’ memandangkan kawasan seluas kira-kira 200 ekar ini sering menghadapi masalah sumber air untuk penanaman.
“Jadi, peruntukan ini akan akan membantu pesawah dan petani di kawasan tersebut, di mana dalam tempoh enam ke lapan bulan akan datang kita percaya kawasan ini akan mula mendapat bekalan air yang cukup bagi penanaman padi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Projek Membina Jambatan Stulang Daeng-Pulau Gadong Sempena Program WRUR DUN Klebang yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, di sini, semalam.
Menurut Ban Hong, selain infrastruktur pertanian, satu lagi projek baharu turut diterima di DUN Klebang iaitu menaik taraf pintu empangan muara Klebang bernilai RM150,000.
Jelas beliau, projek yang dijangka siap dalam tempoh dua bulan itu bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduk DUN Klebang, bahkan seluruh Negeri Melaka kerana ia berupaya melancarkan aliran air dari darat ke laut.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.