
WRUR: KLEBANG TERUS ‘HIDUP’ SEBAGAI NADI PELANCONGAN MELAKA
KLEBANG 13 Oktober – Klebang terus menjadi antara nadi pelancongan di Negeri Melaka susulan pelbagai penambahbaikan yang dilakukan secara berterusan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang Datuk Lim Ban Hong berkata, antara tarikan utama yang berjaya menggamit pelancong adalah penjenamaan semula kawasan penjaja di Pantai Klebang yang kini dikenali sebagai Klebang Walk.
Jelas beliau, Klebang Walk kini menjadi destinasi popular dalam subsektor pelancongan ‘makan-makan’ berdasarkan variasi makanan menarik dan pelbagai barangan lain yang dijual oleh lebih 70 peniaga di kawasan itu.
“Selain Klebang Walk, Klebang juga kini mempunyai sebuah hotel bertaraf lima bintang yang semakin mendapat sambutan.
“Pada masa sama, terdapat sebuah taman tema ‘indoor’ baharu juga telah dibangunkan di sini, selain tarikan utama bersantai bersama keluarga di Pantai Klebang,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Walkabout ‘Perhati dan Pilih’ – Keselamatan Makanan Sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang di Klebang Walk, di sini, pada Sabtu.
Hadir sama, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem dan Pengarah Kesihatan Negeri Melaka Dr. Ruzita Mustaffa.

Dalam pada itu, Ban Hong turut memberi sokongan penuh kepada pemantauan yang dilakukan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka di Klebang Walk dalam memastikan makanan yang dijual bersih, selamat dan berkualiti.
Jelas beliau, usaha itu penting bukan sahaja untuk memberi pendedahan kepada penjaja dan peniaga, bahkan pada masa sama ia juga dapat membantu membina keyakinan pelancong dan orang ramai berkunjung ke Klebang Walk.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.