
WRUR: KLINIK KESIHATAN KLEBANG BESAR BAKAL DIPINDAH KE LOKASI BAHARU
KLEBANG 10 Oktober – Klinik Kesihatan Klebang Besar yang kini dihimpit pembangunan sekeliling akan dipindahkan ke lokasi baharu yang lebih sesuai dan memberikan keselesaan kepada penduduk sekitar yang datang mendapatkan rawatan.
Mengulas berhubung perkara itu Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, cadangan itu disuarakan selepas mengambil kira pembangunan sekaliling dan keperluan menyediakan perkhidmatan kesihatan lebih berkualiti untuk rakyat pada masa akan datang.
Katanya, setakat ini lokasi baharu yang dicadangkan adalah di tapak seluas empat ekar (1.6 hektar) terletak berhampiran Japerun Klebang.
Jelasnya, ketika ini pihaknya sedang menyelesaikan proses pengambilan tanah dan dijangka dapat dimuktamadkan dalam masa beberapa bulan lagi.
“Tapak dicadangkan adalah tanah berkenaan milik kerajaan, jadi prosesnya tidak rumit dan lebih mudah. Permohonan ini juga akan diangkat ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) diikuti proses seterusnya termasuk permohonan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Jika semuanya lancar kita jangka projek ini akan dimasukkan dalam Rolling Plan 2, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13). Setakat ini tidak ada masalah lain, setiap hari klinik kesihatan ini menerima jumlah pesakit bawah 200 orang.
“Selain kemudahan ini penduduk sekitar juga boleh mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Tengkera dan Klinik Kesihatan Seri Tanjung yang lokasinya tidak terlalu jauh,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengetuai lawatan ke Klinik Kesihatan Klebang Besar bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang, di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Siti Faizah Abdul Azis serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang, Datuk Wira Lim Ban Hong.
Hee Sem yang juga Adun Machap Jaya berkata, cadangan untuk membina bangunan tambahan juga tidak sesuai kerana akan mengehadkan lagi ruang klinik kesihatan berkenaan.
“Kalau bina bangunan tambahan kita khuatir akan mengecilkan lagi ruang parkir, sementara itu bagi mengatasi masalah stor yang sempit kita bercadang untuk menggunakan kabin sebagai langkah sementara. Apabila sudah pindah ke lokasi baharu kabin berkenaan boleh dihantar ke lokasi lain yang memerlukan, lebih efektif dan jimat berbanding membina bangunan kekal.
“Kemudahan baharu yang dirancang ini juga akan menyediakan ruang lebih selesa buat kakitangan bertugas dan pesakit datang mendapatkan rawatan, keadaan sekarang adalah agak sempit,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.