
WRUR LENDU BANTU DUA KELUARGA DIAMI RUMAH LEBIH SELESA
LENDU 27 Mei – Dua rumah di Kampung Pulau Semut dan Kampung Solok Air Budi, Durian Daun telah dibaik pulih menerusi Program Melaka Rumahku dengan kos RM20,000 setiap rumah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, inisiatif itu dilaksanakan di bawah Lembaga Perumahan Melaka (LPM) bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu.
“Pada awalnya peruntukan disediakan hanyalah RM15,000, namun disebabkan peningkatan kos bahan binaan dan upah, LPM menaikkan jumlah kepada RM20,000 bagi setiap rumah.
“Antara kerja yang dilakukan ialah penukaran bumbung dan struktur kayu, mereka yang menerima sumbangan baik pulih rumah ini adalah daripada golongan yang benar-benar memerlukan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Terdahulu Sulaiman menghadiri Majlis Simbolik Penyerahan Program Melaka Rumahku (Baik Pulih) rumah Abdul Halim Norman, 55, di Kampung Pulau Semut dan Rosnani Osman, 60, di Kampung Solok Air Budi.
Turut hadir pada majlis itu Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin dan Pengarah Eksekutif LPM Datuk TPr. Murad Husin.
Sulaiman yang juga Ketua Menteri Melaka Ke-12 memaklumkan, penerima bantuan menyambut baik inisiatif itu dan menyampaikan ucapan terima kasih kepada LPM dan Kerajaan Negeri atas keprihatinan terhadap keperluan rakyat yang memerlukan.
“Setakat ini, hanya dua rumah di DUN Lendu menerima bantuan baik pulih di bawah program tersebut, manakala beberapa permohonan lain termasuk permintaan membina rumah baharu masih dalam proses pertimbangan dan bergantung kepada peruntukan.
“Satu permohonan bina baharu kediaman telah dilaksanakan, manakala selebihnya masih dalam senarai menunggu,” katanya.
Beliau berkata, selain itu terdapat sembilan permohonan membaik pulih rumah dalam senarai semasa, namun jumlah itu dijangka meningkat berdasarkan permohonan baharu yang diterima setiap kali beliau turun padang.
“Setakat ini, ada tiga permohonan pembinaan rumah baharu yang diterima. Kita akan terus bantu mereka yang benar-benar memerlukan, tetapi pada masa sama rakyat perlu faham beberapa kekangan peruntukan yang dihadapi,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.