Sorting by

×

WRUR: MCORP, SM-WEZ AGIH KIT MAKANAN KEPADA 100 ASNAF DUN LENDU

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

LENDU 27 Mei – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu membuktikan ia bukan sekadar program yang cakna terhadap aduan dan permasalahan rakyat, bahkan turut memberi tumpuan kepada aspek kebajikan.

Ia apabila dua agensi Kerajaan Negeri iaitu Perbadanan Melaka (MCORP) bersama Perbadanan Straits of Melaka Waterfront Economic Zone (SM-WEZ) tampil menyampaikan sumbangan kit makanan kepada 100 asnaf dalam DUN terbabit.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, selaku wakil rakyat, beliau amat menyambut baik program berbentuk tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang diadakan khusus bagi menyantuni rakyat kurang bernasib baik.

“Alhamdulillah, seramai 100 asnaf telah terpilih untuk menerima bantuan berupa kit makanan yang mengandungi keperluan asas seperti beras, minyak masak, tepung, gula dan pelbagai lagi.

“Golongan asnaf yang terpilih sebagai penerima bantuan ini merangkumi keseluruhan kategori asnaf, termasuklah ibu tunggal, warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

“Diharap pemberian sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan penerima apatah lagi menjelang Hari Raya Aidiladha yang bakal menjelma tidak lama lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini pada Majlis Sumbangan Barangan Keperluan Asas sempena Program WRUR DUN Lendu di Kompleks Japerun Lendu, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi MCORP, Muhammad Ridzwan Yap Abdullah dan Pegawai Tadbir SM-WEZ, Nursyaamirah Mohd Ali.

Mengulas lanjut, Sulaiman yang juga Ketua Menteri Ke-12 memaklumkan, di DUN Lendu terdapat lebih 200 asnaf berdaftar, namun untuk sumbangan ini, seramai 100 asnaf yang benar-benar memerlukan dipilih untuk menerima sumbangan.

Bagaimanapun, beliau amat mengalu-alukan pelbagai agensi dan badan korporat lain untuk terus menganjurkan program CSR seumpamanya agar lebih ramai insan kurang bernasib baik dapat dibantu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

612
Kongsi :
Previous post IMUNISASI BAYI, KANAK-KANAK DI MELAKA CAPAI LEBIH 98 PERATUS TAHUN LALU
Next post BESARKAN ANAK HINGGA BERJAYA, ZULHIJAH IBU INSPIRASI MELAKA