
WRUR MEDAN MEMBUDAYAKAN PENTADBIRAN TURUN PADANG
BEMBAN 5 Julai – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) edisi kelima, Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban, berlangsung selama dua minggu melabuhkan tirainya secara rasmi hari ini, melakar pelbagai kejayaan khususnya menyelesaikan isu rakyat.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, WRUR bukan sekadar janji, tetapi realiti yang memberi makna dan manfaat buat rakyat Bemban.
“Program WRUR menjadi medan bagi memperkasakan acuan pentadbiran turun padang yang lebih berkesan, sekali gus menyelesaikan rintihan dan permasalahan rakyat secara tuntas serta membawa sinar harapan kepada setiap keluarga di bumi Melaka.
“Perkara itu juga selaras dengan agenda utama Kerajaan Negeri Melaka untuk merakyatkan pentadbiran Kerajaan Negeri. Maka, saya dengan penuh yakin menyatakan bahawa Program WRUR DUN Bemban telah berjaya mencapai sasarannya dengan cemerlang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program WRUR DUN Bemban di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jasin Lalang, di sini, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras WRUR, Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Penyelaras DUN Bemban, Mohd Raziff Yakop, barisan Exco, Timbalan Exco serta pegawai kanan Kerajaan Negeri.
Menurutnya, kejayaan WRUR DUN Bemban bukan usaha seorang dua, tetapi hasil sinergi yang kuat dan jitu daripada semua pihak termasuk barisan Exco, Japerun, pemimpin masyarakat serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).
“Tidak kurang penting peranan dan kerjasama Ketua Kampung, jabatan serta agensi negeri mahupun Persekutuan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), tidak dilupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bersama-sama memastikan setiap isu rakyat ditangani hingga ke akar umbi,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.