
WRUR: MEMANCING SAMBIL BERAMAL DEMI PAHLAWAN NEGARA
KLEBANG 11 Oktober – Memancing sambil beramal. Itu keunikan yang dibawakan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada Pertandingan Pancing Amal Sempena Kempen Tabung Pahlawan.
Pertandingan yang diadakan di Pantai Tambak Klebang di sini, disertai kira-kira 700 kaki pancing dari seluruh negara bukan sahaja untuk merebut hadiah keseluruhan bernilai hampir RM50,000, bahkan turut menjadi antara penyumbang untuk pahlawan negara.
Ketua Pengarah JHEV ATM Mejar Jeneral Datuk Semaon Marjuki berkata, pertandingan memancing itu merupakan sebahagian daripada Kempen Tabung Pahlawan 2025-2026 yang digerakkan tahun ini.
Jelas beliau, sukan memancing dipilih sebagai satu kaedah baharu yang diperkenalkan bagi mengumpul sumbangan untuk tabung berkenaan yang akan disalurkan kepada veteran-veteran yang memerlukan.
“Sekurang-kurangnya sambil memancing kita dapat beramal dan apa yang lebih penting adalah kebersamaan yang terjalin sepanjang program ini.
“Program ini juga selari dengan tema yang kita tetapkan iaitu ‘Satu Rakyat, RM1 Demi Pahlawanku’, di mana sepanjang program, kita turut menyediakan kod QR untuk orang ramai menyalurkan sumbangan bermakna dan memberi kesan mendalam kepada ekosistem keselamatan.
“Saya amat berharap pertandingan yang dianjurkan ini dapat mencapai sasaran kutipan yang ditetapkan iaitu RM3 juta,” katanya ketika berucap menyempurnakan majlis penutup program tersebut.

Terdahulu, pertandingan pancing amal itu turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang Datuk Wira Lim Ban Hong sebagai sebahagian pengisian yang ditetapkan dalam Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Klebang yang kini sedang berlangsung sehingga 19 Oktober depan.
Ban Hong turut menyampaikan sumbangan kepada Tabung Pahlawan bagi memberi sokongan kepada wira-wira yang telah banyak berkorban untuk negara.
Di akhir pertandingan menyaksikan pemancing dari Rompin, Pahang, Nur Kamarulalam Saiful muncul juara selepas berjaya menaikkan ikan pari seberat 3.220kg, sekali gus membawa pulang wang tunai RM25,000.
Tempat kedua pula menjadi milik Hasim Mukri yang juga mendaratkan ikan pari seberat 2.315kg, manakala tempat ketiga dimenangi Tuan Ahmad Zul Fadli yang menaikkan ikan mayong 1.990kg.
Kedua-dua mereka masing-masing membawa pulang RM4,000 dan RM2,000.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.