Sorting by

×

WRUR: NENEK 91 TAHUN SENYUM LEBAR TERIMA ROMBONGAN ZIARAH KASIH

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

KLEBANG 10 Oktober – Nenek berusia 91 tahun  terharu dan teruja, apabila menerima kunjungan rombongan Ziarah Kasih bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN Klebang.

Malah Misah Jusoh, tersenyum lebar apabila dia turut menerima kit makanan dan sumbangan tunai daripada rombongan Program Ziarah Kasih singgah untuk menyantuninya.

Terdahulu rombongan Ziarah Kasih diketuai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang Datuk Wira Lim Ban Hong itu melibatkan persinggahan ke 11 rumah penerima dalam kalangan orang kurang upaya (OKU), asnaf, warga emas dan ibu tunggal sekitar DUN berkenaan.

Misah berkata, program seumpama itu membuatkan dirinya berasa masih lagi dihargai meskipun usiaya kini sudah menghampiri satu abad.

“Terima kasih kepada semua yang sudi singgah ke rumah saya, sumbangan disampaikan membantu meringankan beban hidup, tetapi  lebih menggembirakan adalah dapat  bersembang dengan pemimpin DUN Klebang.

“WRUR adalah satu program amat bagus dan berkesan terutama dalam memperkukuh semangat kebersamaan dalam komuniti,” katanya yang tinggal bersama dua anaknya di Jalan Setulang Daeng.

Nada sama disuarakan seorang lagi warga emas berkerusi roda, Rahman Bachik, 82, menzahirkan rasa syukur atas keprihatinan Kerajaan Negeri dan Ban Hong  yang sentiasa mengambil berat terhadap kebajikan penduduk setempat.

“Syukur Alhamdulillah, sedikit sebanyak menerusi bantuan ini dapatlah menarik nafas lega.

“Inisiatif Ziarah Kasih ini wajar diadakan secara berkala agar tiada golongan memerlukan yang terpinggir atau tertinggal daripada menerima bantuan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Sementara itu, Lim Ban Hong berkata, inisiatif di bawah Program WRUR itu menjadi antara agenda kebajikan berterusan bagi memastikan tiada rakyat yang terlepas daripada perhatian sewajarnya di DUN Klebang.

“Ziarah Kasih bukan sekadar menyalurkan bantuan barangan keperluan harian, tetapi juga peluang untuk kita mendengar sendiri masalah dan keperluan penduduk.

“Pendekatan turun padang ini membolehkan kita mengenal pasti lebih banyak keluarga yang layak dibantu melalui pelbagai saluran kerajaan negeri dan persekutuan,” ujarnya ketika ditemui pada Program Ziarah Kasih sempena WRUR di Bukit Rambai, di sini, semalam.

AHLI Dewan Undangan Negeri (Adin) Klebang Datuk Wira Lim Ban Hong ketika menyantuni warga emas ketika Program Ziarah Kasih sempena Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang. Foto Afiq Mustaffa

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

534
Kongsi :
Previous post WRUR KLEBANG DENGAR SUARA NELAYAN
Next post BELANJAWAN 2026: BERI PELUANG BELIA JADI ‘THINK TANK’