Sorting by

×

WRUR PACU PERUBAHAN POSITIF DURIAN TUNGGAL – PENDUDUK

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

DURIAN TUNGGAL 8 November – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal terbukti bukan sekadar medan menyuarakan aduan, bahkan menjadi platform berkesan yang menterjemah setiap suara rakyat kepada tindakan nyata, sekali gus membawa perubahan positif kepada komuniti setempat.

Menurut penduduk Taman Desa Idaman, Suratman Hatimin, 63, program yang dilaksanakan selama dua minggu itu bukan sekadar ruang menyuarakan pandangan, tetapi turut membuahkan hasil melalui pelbagai inisiatif yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.

“Pelaksanaan WRUR DUN Durian Tunggal ini menunjukkan komitmen tinggi Kerajaan Negeri dalam menyelesaikan isu tempatan seperti banjir dan kesesakan jalan raya di kawasan ini.

“Malah, sudah setahun kawasan kami bebas banjir selepas kerja penambahbaikan sistem saliran dilakukan.

“Selain itu, masalah lalu lintas juga semakin baik dengan pembinaan bulatan baharu dan jalan sehala yang mengatasi kesesakan pada waktu puncak,” katanya yang merupakan pesara kerajaan.

6082170846945414034
SURATMAN

Peniaga Kedai Runcit di Pekan Durian Tunggal, Ngo Yoon Chong, 43, pula berpandangan program WRUR membantu mempercepat proses penambahbaikan infrastruktur awam di kawasan berkenaan.

“Banyak perkara yang sebelum ini mengambil masa lama kini dapat perhatian segera, termasuk baik pulih jalan, longkang, banjir dan kesesakan jalan raya apabila waktu puncak. Kami merasakan suara kami benar-benar didengari,” katanya.

6082170846945414035
YOON CHONG

Sementara itu, Norin Azlin Abu Hassan, 37, penduduk Taman Belimbing Setia menyifatkan keprihatinan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Datuk Zahari Abd Kalil yang sentiasa turun padang sebagai faktor utama kejayaan program tersebut.

“Beliau bukan pemimpin yang hanya muncul ketika pilihan raya. Apa sahaja isu berlaku dalam DUN Durian Tunggal ini beliau cakna, daripada isu kecil ke besar,” ujarnya.

Program WRUR DUN Durian Tunggal yang melabuhkan tirainya pada 6 November lalu telah berjaya melaksanakan lebih 228 aktiviti sepanjang dua minggu membabitkan pelbagai jabatan dan agensi Kerajaan Negeri.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

485
Kongsi :
Previous post BENANG KAIT TERAPI HIDUP NORHATINI
Next post WARGA BANDARAYA MELAKA MAKIN SEDAR KEPENTINGAN KITAR SEMULA