
WRUR PECAH KEBUNTUAN PENDUDUK LUBOK KASAU
BEMBAN 5 Julai – Lawatan turun padang Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh ke Kampung Lubok Kasau, sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban, di sini, semalam, membawa khabar gembira buat kira-kira 200 penduduk di penempatan itu yang dihantui risiko banjir.
Pengumuman oleh Ketua Menteri berhubung pelaksanaan projek mitigasi banjir dengan anggaran kos antara RM1 hingga RM1.5 juta diperuntukkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) disambut baik dan amat melegakan penduduk.

Bagi Mad Zaham Md Jenin, 76, berkata, meskipun projek mitigasi yang diumumkan hanya akan dimulakan pada Ogos depan, pengumuman daripada Ketua Menteri itu amat menggembirakan dirinya dan penduduk lain.
“Berita diumumkan Ketua Menteri sudah cukup untuk melegakan keresahan kami semua, selepas ini saya sudah boleh tidur malam dengan lena. Sebagai penduduk saya amat berbesar hati apabila Ketua Menteri sendiri turun ke kampung ini dan mendengar masalah serta pendapat penduduk.
“Besar harapan saya agar perancangan kerajaan ini dapat membantu mengatasi banjir,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini selepas perjumpaan bersama Ketua Menteri.
Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Penyelaras DUN Bemban, Mohd Raziff Yakop; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datin Sapiah Haron dan Pengarah JPS negeri, Ir. Mohd Adnan Ahmad Fauzi.

Sementara itu seorang lagi penduduk Robiah Hassan, 59, berkata, sepanjang 50 tahun menetap di Kampung Lubok Kasau, situasi banjir paling teruk dialami pada 2021 apabila paras air naik melepasi dada.
“Alhamdulillah doa saya ketika menunaikan haji baru-baru ini dimakbulkan apabila adanya penyelesaian banjir di kampung ini. Apa yang diumumkan Ketua Menteri memang memberi kelegaan walaupun masalah banjir ini tidak dapat ditangani sepenuhnya tetapi sekurang-kurangnya tidak teruk.
“Ini juga hasil daripada muafakat penduduk yang sentiasa berganding bahu mencari penyelesaian dalam mengatasi banjir. Alhamdulillah, dengan tindakan jangka sederhana ini penduduk dapat menarik nafas lega,” katanya.
Jelasnya, pelaksanaan WRUR yang dibawakan Kerajaan Negeri merupakan pendekatan amat baik dalam menyelesaikan masalah rakyat selain pengisian program sepanjang dua minggu cukup memberi impak dan perlu diteruskan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.