Sorting by

×

WRUR: PENDUDUK GADEK PUJI USAHA PEMIMPIN TURUN PADANG SELESAI MASALAH RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

GADEK 12 April – Pendekatan turun padang menerusi inisiatif Hari Aduan Rakyat sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Gadek memberi ruang bermakna kepada penduduk untuk menyuarakan isu setempat secara terus kepada pihak berkaitan.

Bagi T Tamil Selvey, 60, dari Taman Sebang Gemilang, peluang bersemuka dengan agensi kerajaan dimanfaatkan untuk mengadu isu keselamatan dan kebersihan di kawasan perumahannya.

“Bila dapat berjumpa secara bersemuka begini memang bagus, amat puas hati dengan layanan diberikan. Harapan saya supaya masalah yang disuarakan diselesaikan kerana kebersihan dan keselamatan sangat penting,” katanya ketika ditemui di Taman Sebang Gemilang, di sini, pada Sabtu.

Menurutnya, program seumpama itu amat dinantikan rakyat kerana memudahkan mereka bertemu pemimpin tanpa perlu ke bandar.

“Saya tidak sangka ada program besar begini. Ini peluang yang rakyat tunggu untuk berjumpa pemimpin.

“Kalau dibuat di kawasan kampung macam ini, lebih mudah untuk kami datang dan luahkan masalah,” katanya.

Sementara itu, Aishah Ahmad, 63, dari Taman Bukit Nangka, berkata hasil perbincangan bersama pegawai berkenaan mengenai permohonan membaik pulih kediaman kakanya yang mengalami kebocoran kini mula mengarahkan kepada penyelesaian yang memuaskan hatinya.

“Saya berpuas hati dengan penerangan yang diberikan, saya juga lebih faham mengenai prosedur permohonan atau perkara lain berkaitan, terjawab segala persoalan sebelum ini.

“Kami tiba seawal jam 8.30 pagi memang berbaloi hadir ke program ini, pulang dengan hati lebih tenang dan gembira,” katanya.

Manakala Chuah Siew Eng, 58, dari Kuala Ina berkata, kehadirannya secara kebetulan ke program itu bertukar menjadi pengalaman bermakna apabila dapat menyuarakan cadangan serta meluahkan isu berkaitan perkhidmatan kesihatan.

“Saya nampak program ini dan terus singgah. Saya gembira sebab ada peluang berjumpa terus dan mereka juga bersedia membantu. Cuma mungkin masih ramai yang belum tahu mengenai program ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

190
Kongsi :
Previous post SEDIAKAN LOT KUBUR SIAP DIGALI, LANCARKAN URUSAN PENGEBUMIAN JENAZAH UMAT ISLAM
Next post UNIMEL DIYAKINI MAJIKAN DAN INDUSTRI, TERIMA PENARAFAN 6 BINTANG TALENTBANK