
WRUR: PENDUDUK HARAP JAMBATAN STULANG DAENG-PULAU GADONG SIAP LEBIH AWAL
KLEBANG 19 Oktober – Penduduk di sekitar Bukit Rambai dan Pulau Gadong menarik nafas lega apabila jambatan menghubungkan dua kampung yang runtuh dua tahun lalu akan dibina semula.
Sidang Pekan Klebang Hazmi Yusop, 60, berkata, pembinaan semula jambatan berkenaan bakal memberi lebih keselesaan kepada penduduk yang sebelum ini terpaksa melalui jalan lebih jauh.

Dia bagaimanapun berharap, pembinaan jambatan baharu yang mengambil tempoh masa dua tahun itu dapat disiapkan lebih awal daripada tarikh yang ditetapkan.
“Saya percaya jika siap lebih awal ia dapat membantu memudahkan urusan harian penduduk, termasuk juga dalam melancarkan aspek pengebumian memandangkan terdapat tanah perkuburan di kawasan ini.
“Sebelum ini, urusan pengebumian sedikit terganggu disebabkan faktor laluan yang terpisah akibat jambatan runtuh dan perlu menggunakan laluan yang lebih jauh dan mengambil masa tambahan lebih 15 minit.
“Bagaimanapun, saya merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang kerana berjaya merealisasikan pembinaan semula jambatan ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Nada sama turut disuarakan penduduk Kampung Stulang Daeng, Ong Ching Keang, 60, yang berharap jambatan itu dapat segera disiapkan demi kemudahan penduduk setempat.
Dia yang telah 50 tahun menetap di kawasan itu berkata, jambatan tersebut sangat penting dalam urusan seharian penduduk dan apabila runtuh dua tahun lalu, ia memberi kesan besar kepada penduduk dan pengguna laluan berkenaan.
“Sebab itu, saya harap pembinaan ini dapat disegerakan tanpa perlu menunggu sehingga dua tahun. Namun, saya amat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana membantu merealisasikan pembinaan semula jambatan ini,” ujarnya.

Pada Jumaat, Ketua Menteri telah menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek MembinaJambatan Stulang Daeng-Pulau Gadong bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang.
Projek membina jambatan itu diluluskan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dengan peruntukan RM9.4 juta.
Ia bakal melibatkan pembinaan jambatan baharu sepanjang 70 meter berserta jalan baharu sejauh 400 meter, di mana kerja-kerja pembinaan telahpun bermula selepas penyerahan tapak pada 3 Oktober lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada 30 September 2027.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.