Sorting by

×

WRUR: PENDUDUK KAMPUNG PULAU MOHON PEMBINAAN MASJID BAHARU

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

DURIAN TUNGGAL 30 Oktober – Permohonan pembinaan sebuah masjid baharu antara 23 aduan dibangkitkan pada sesi ‘town hall’ masyarakat Kampung Pulau bersama Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman.

Selaku bapa angkat Kampung Pulau, Rahman berkata permohonan pembinaan masjid baharu itu adalah diberikan perhatian susulan kepadatan umat Islam di kawasan berkenaan.

Katanya, selain itu, penduduk yang hadir turut menyuarakan isu berkaitan pengurusan masjid, surau, tadika Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), sekolah serta tanah perkuburan Islam.

“Setiap perkara dibangkitkan diberi perhatian dan diambil tindakan segera. Namun bagi sesetengah perkara memerlukan tindakan lanjut daripada agensi berkaitan.

“Terdapat juga aduan jangka panjang yang memerlukan penelitian lanjut termasuk permohonan pembinaan masjid baharu. Hal ini perlu melalui proses termasuk kelulusan tapak,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas menghadiri sesi town hall di Bilik Mesyuarat Balai Raya Kampung Pulau, Durian Tunggal, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Datuk Zahari Abd Kalil; Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Md Azhan Samat dan Pegawai Daerah Alor Gajah Datuk Sabrina Thalas serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut Rahmad, berkata inisitif town hall dilihat amat berkesan dalam memberikan impak terutama dalam menyalurkan maklumat dan perkembangan terkini dasar atau pembangunan dilaksanakan Kerajaan Negeri.

“Ada kes penduduk menyuarakan aduan yang sebenarnya sudah diselesaikan, mungkin mereka tidak tahu berhubung tindakan dilaksanakan. Berikutan itu sesi perjumpaan seperti ini amat penting dalam memberikan pencerahan dan penjelasan berhubung perkara-perkara berkenaan kepada rakyat.

“Menerusi town hall ini juga komunikasi dua hala antara Kerajaan Negeri dan rakyat menjadi lebih berkesan serta memberikan impak lebih meluas,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

628
Kongsi :
Previous post KETUA MENTERI RAIKAN PEMENANG CABUTAN BSN SSP
Next post WRUR: TANAH PERKUBURAN ISLAM DUN DURIAN TUNGGAL ‘MESRA PENGUNJUNG’