Sorting by

×

WRUR PERKASA GAGASAN MELAKA SAYANG RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

BANDARAYA MELAKA 31 Mac – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang dicetuskan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dilihat sebagai antara inisiatif utama yang selari dengan gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) dalam usaha memperkukuh penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad berkata, program WRUR yang dilaksanakan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) kini telah membawa pentadbiran Kerajaan Negeri ke satu dimensi baharu.

Beliau berkata, pendekatan turun padang yang melibatkan semua Exco, Timbalan Exco, jabatan dan agensi kerajaan termasuk badan bukan kerajaan serta kepimpinan peringkat komuniti secara tidak langsung dapat mendengar denyut nadi dan keperluan rakyat secara menyeluruh.

“Program WRUR ini bermula pada suku pertama tahun lalu, di mana DUN Kuala Linggi menjadi lokasi pertama dan sebanyak 10 DUN sudah selesai pelaksanaan sehingga kini.

“Sepanjang tempoh pelaksanaan program WRUR sebanyak 2,245 aduan yang membabitkan pelbagai kategori diterima dan daripada jumlah itu lebih 85 peratus atau 1,900 aduan telah berjaya diselesaikan.

“Manakala bakinya masih dalam tindakan untuk penyelesaian kerana ada di antara memerlukan tempoh masa ini menunjukkan pelaksanaan WRUR ini memberi impak amat positif kepada rakyat dan pentadbiran Kerajaan Negeri serta mencerminkan Kerajaan Melaka sentiasa bersama rakyat,” katanya kepada pemberita, baru-baru ini.

Menurut Azhar, sepanjang 10 siri pelaksanaan program WRUR, kira-kira 2,000 program berjaya dianjurkan menerusi kerjasama pelbagai pihak yang terlibat.

“Pastinya menerusi program-program dianjurkan ini ia memberi manfaat kepada komuniti setempat dan memperkukuhkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

“Pelaksanaan WRUR ini bukan sekadar medium menyuarakan aduan dan permohonan tetapi rakyat dialu-alukan untuk mengemukakan cadangan bagi penambahbaikan berkaitan sesuatu perkara termasuk pentadbiran Kerajaan Negeri,” katanya.

Jelas beliau, bermula tahun ini, pelaksanaan program WRUR berkonsep baharu apabila bakal diadakan mengikut Parlimen dan ia akan bermula di Parlimen Alor Gajah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

334
Kongsi :
Previous post KEJAYAAN ATAU KELEMAHAN BENTUK PERSEPSI RAKYAT – KM
Next post KAMPUNG DIGITAL : 80 PERATUS PENDUDUK KAMPUNG PERIGI HANG TUAH ADA QR