Sorting by

×

WRUR: PERPADUAN NOMBOR SATU DI KLEBANG

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

KLEBANG 12 Oktober – Perpaduan menjadi tunjang utama yang dititikberatkan sepanjang dua minggu berlangsungnya program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang Datuk Wira Lim Ban Hong berkata, pengisian elemen perpaduan dan kesejahteraan rakyat menjadi agenda utama yang diberi tumpuan memandangkan ia menjadi teras dalam mewujudkan suatu persekitaran yang harmoni di negeri ini.

Justeru, jelas beliau, program melibatkan komuniti berbilang kaum seperti Jalinan Perpaduan bersama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) menjadi antara program terbanyak dianjurkan sebagai usaha memantapkan lagi semangat kebersamaan di antara rakyat di Klebang.

“Memandangkan Klebang merupakan sebuah kawasan bercampur, saya memilih untuk mendekatkan lagi komuniti berbilang kaum menerusi penganjuran program berkonsepkan perpaduan dan keharmonian.

“Jika kita lihat, perpaduan adalah asas kepada kestabilan dan sekiranya sesuatu komuniti itu stabil dan perpaduannya baik, maka komuniti tersebut akan mempunyai persekitaran lebih baik dan kurang berdepan masalah.

“Secara tidak langsung, kestabilan yang berlaku itu dapat membantu kepimpinan negeri dan negara merancang dasar atau inisiatif yang lebih baik untuk pembangunan dan kemajuan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Jalinan Mesra Perpaduan Sempena WRUR DUN Klebang di KRT Rumah Pangsa Lereh, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri merangkap Adun Pantai Kundor Tuminah Kadi @ Mohd Hashim.

Menurut Ban Hong, sepanjang WRUR, beliau selaku wakil rakyat turut menerapkan eleman keseimbangan dalam program-program yang dirangka, di mana selain aspek pembangunan ekonomi, pembangunan sosial turut diberi perhatian.

“Sebab itulah sepanjang WRUR kita menekankan keseimbangan, di mana, kita berjumpa dengan segenap lapisan masyarakat termasuklah pesawah, petani, peniaga kecil untuk membantu menyelesaikan masalah mereka.

“Pada masa sama, aspek pendidikan dan pembangunan belia juga tidak kita lupakan dengan penganjuran pelbagai program termasuklah kelas kemahiran, pemerkasaan TVET serta lain-lain lagi,” tambahnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

477
Kongsi :
Previous post KPM BERI SOKONGAN EMOSI KEPADA PELAJAR PEREMPUAN DISYAKI MANGSA SALAH LAKU SEKSUAL
Next post WANITA MAUT MOTOSIKAL REMPUH KERETA MASUK SIMPANG MENGEJUT