Sorting by

×

WRUR PROGRAM UNTUK SEMUA KAUM

Masa Membaca:2 Minit, 17 Saat

SUNGAI UDANG 29 Mei – Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang digagaskan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh telah membuktikan ia bukan sekadar program ‘syok sendiri’, sebaliknya bermotifkan sentuhan kasih kepada rakyat di seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

Malah, program itu juga turut mengambil kira kepentingan dan keperluan masyarakat berbilang kaum di setiap kawasan tanpa mengira bangsa, agama dan warna kulit.

Perkara itu dibuktikan di WRUR DUN Sungai Udang yang menyentuh pelbagai masalah rakyat termasuk masyarakat Cina dan India di kawasan itu.

Penyelaras DUN Sungai Udang Datuk Rais Yasin berkata, sepanjang dua minggu program itu berlangsung, pelbagai masalah dan keperluan mendesak rakyat telah diambil cakna, malah di antaranya berjaya diselesaikan segera.

Justeru, beliau yang juga Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri menyanggah tohmahan dan dakwaan segelintir pihak mengaitkan WRUR sebagai sebuah agenda kepentingan politik, sedangkan rakyat boleh melihat usaha dan kerja keras dilakukan Kerajaan Negeri dalam merakyatkan pentadbiran.

“Seperti di Sungai Udang, kita telah turun di segenap pelusuk kawasan untuk menyantuni segala permasalahan rakyat termasuk masyarakat Cina yang ada di dua Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Baru (JPKKB) yang ada di DUN ini.

“Malah, Ketua Menteri sendiri memilih untuk turun padang dan bersama masyarakat Cina dalam salah satu program yang kira rangka, sekali gus menunjukkan betapa serius Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan beliau mahu menyelesaikan masalah rakyat.

“WRUR telah membuktikan ia adalah sebuah program yang berjaya merakyatkan agensi dan jabatan kerajaan dengan memastikan setiap pemimpin turun dan faham apa keperluan mendesak rakyat di sesuatu kawasan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi Ketua Menteri pada Perjumpaan Bersama Pemimpin Tempatan Masyarakat Cina bersempena WRUR DUN Sungai Udang di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bertam Ulu, di sini, semalam.

Hadir sama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman; Pegawai Daerah Melaka Tengah Mohd Shaiful Hizam Johan serta pemimpin-pemimpin setempat.

Menurut Rais, pada perjumpaan itu, Ketua Menteri turut mengambil maklum terhadap beberapa permasalahan yang berlaku di kawasan itu termasuklah keperluan pembinaan bangunan baharu di SJKC Bertam Ulu yang akan menyediakan sebuah kelas Islam, khas untuk hampir 100 murid berbangsa Melayu di situ.

Selain itu, beliau memaklumkan, turut diambil perhatian adalah terhadap isu Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Bertam Ulu yang sehingga kini masih menumpang bangunan milik JPKKB kampung berkenaan.

“Malah, saya sendiri juga telah turun ke seluruh kawasan dalam Sungai Udang bagi meneliti setiap masalah dan keperluan yang akan diangkat untuk diselesaikan bersama agensi terlibat.

“Jadi, saya rasa isu atau naratif negatif yang cuba dibangkitkan oleh sesetengah adalah mereka yang hanya ingin berpolitik dan bukannya mahu menyelesaikan masalah rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

707
Kongsi :
Previous post MPAG GALAK PENIAGA AMAL INISIATIF TANPA TUNAI
Next post NASI KANDAR RM10 DI MELAKA