
WRUR : PROJEK PENGAIRAN SUBURKAN HASIL BUMI KLEBANG
KLEBANG 20 Oktober – Kerajaan Negeri komited memastikan kesejahteraan rakyat bukan sahaja melalui penyediaan tempat tinggal yang selesa, tetapi juga dengan menjamin sumber rezeki mereka.
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kerajaan mahu memastikan dapur rakyat terus berasap dan kehidupan para petani, nelayan serta peniaga kecil sebagai wira ekonomi akar umbi sentiasa terbela.
“Keluh kesah pesawah tentang sistem pengairan yang uzur tidak dibiarkan berlarutan. Kerajaan bertindak pantas melalui projek mega membina infrastruktur pengairan dan saliran di Skim Pengairan Bukit Rambai.
“Sejumlah RM43.5 juta peruntukan telah diberikan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi menangani masalah ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Klebang di Dataran Klebang, di sini, semalam.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang, Datuk Wira Lim Ban Hong.
Ab Rauf berkata, selain itu, sebanyak RM2.37 juta turut diperuntukkan bagi Projek Infrastruktur Sokongan Pesawah di Kampung Pinang yang dijangka bermula tidak lama lagi dan siap pada pertengahan tahun 2026.
“Semoga usaha ini menjadi pemangkin kepada hasil bumi Klebang yang terus subur,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.