Sorting by

×

WRUR: RAKYAT MELAKA RUGI RM68 JUTA ANGKARA JENAYAH SIBER

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

DURIAN TUNGGAL 31 Oktober – Kes jenayah siber di Melaka masih berada pada paras membimbangkan apabila sebanyak 2,294 kes direkodkan dari tempoh 1 Januari hingga 14 Oktober tahun ini.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, angka itu melibatkan nilai kerugian mencecah RM68 juta, mengikut data dikeluarkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.

Menurutnya, statistik itu jelas menunjukkan bahawa ancaman jenayah siber seperti penipuan dalam talian kini bukan lagi isu terpencil, malah menjadi fenomena sosial dan ekonomi yang serius dan perlu ditangani bersama.

“Kesemua penipuan itu dikesan menerusi pelbagai penipuan dalam talian yang melibatkan taktik termasuk ‘phishing’, panggilan palsu, penipuan pelaburan, pinjaman tidak wujud dan penyamaran sebagai pegawai bank atau agensi kerajaan.

“Peringkat usia yang paling ramai menjadi mangsa adalah mereka yang berusia 40 tahun keatas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Hari Bersama Komuniti (HBK) Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal di Balai Raya Taman Angkasa Nuri, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Datuk Zahari Abd Kalil serta kenamaan lain, selain turut disertai kira-kira 30 pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Mengulas lanjut, Fairul Nizam berkata, dalam era digital kini, jenayah siber semakin canggih dan sukar dikesan, justeru, ia memerlukan kerjasama semua untuk lebih cakna dan mengelak daripada menjadi mangsa penipuan.

“Saya berharap pada masa hadapan, jumlah mangsa akan berkurang dan orang ramai perlu lebih peka dan ambil langkah berjaga-jaga dalam menggunakan platform media sosial.

“Kerajaan Negeri berusaha melaksanakan pelbagai kempen kesedaran dan program bagi mengukuhkan kesedaran tentang penggunaan teknologi yang selamat dan beretika untuk melindungi diri daripada jenayah alaf baharu ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2206
Kongsi :
Previous post MAIM PERKASA PENDIDIKAN PINTAR DI SEKOLAH AGAMA