Sorting by

×

WRUR REMBIA: 2,568 RUMAH, PREMIS TERIMA ALAMAT BAHARU KAMPUNG DIGITAL

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

REMBIA 5 Ogos – Sebanyak 2,568 rumah dan premis di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia menerima alamat baharu Kampung Digital bersempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR).

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, jumlah itu membabitkan sebanyak 19 buah kampung tradisional di DUN Berkenaan.

Beliau yang juga Penyelaras DUN Rembia memaklumkan, kampung-kampung terlibat adalah Kampung Air Lanjut; Kampung Baru; Kampung Bukit Keria; Kampung Bukit Tampoi-Kelemak; Kampung Jawa; Kampung Kelemak Dalam; Kampung Kelemak Luar; Kampung Kelemak Tengah; Kampung Paku; Kampung Pengkalan dan Kampung Solok Zakaria.

Selain itu, ia turut membabitkan Kampung Tebat; Pekan Alor Gajah; Kampung Paya Datok; Kampung Jelatang; Kampung Kelemak; Kampung Sungai Petai; Kampung Seri Pengkalan dan Kampung Rembia.

“Sepanjang dua minggu WRUR DUN Rembia berlangsung, ini Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) bersama Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajah serta Japerun Rembia akan mempergiatkan kempen menampal pelekat Kampung Digital di rumah-rumah terlibat.

“Pada masa sama, kita juga memberikan penerangan mengenai apa itu Kampung Digital yang diilhamkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh supaya penduduk faham bahawa inisiatif ini membawa impak cukup besar dalam aspek pentadbiran dan pembangunan negeri pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menghadiri Taklimat dan Sesi Edaran Alamat Kampung Digital sempena WRUR DUN Rembia di Surau Kampung Paku, di sini, hari ini.

6093426221057688285
KAUNTER penukaran kad pengenalan alamat Kampung Digital secara percuma yang disediakan di Kampung Paku. Foto Afiq Mustaffa

Pada program itu, Fairul Nizam turut menyantuni penduduk yang hadir ke kaunter penukaran kad pengenalan Kampung Digital secara percuma yang disediakan khas di kampung berkenaan bersempena WRUR DUN Rembia.

Dalam pada itu, mengulas mengenai berlaku perubahan nama jalan atau lorong membabitkan sesetengah kawasan selepas pertukaran alamat Kampung Digital, beliau menjelaskan bahawa nama jalan tersebut diambil daripada data yang diterima daripada Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Bagaimanapun, ujar beliau, sekiranya ada penduduk yang mahu mengekalkan nama jalan sedia ada, Kerajaan Negeri menerusi UPEN dan Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajah sedia mempertimbangkan perkara tersebut menerusi perbincangan secara bersama.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

531
Kongsi :
Previous post TITIPAN KATA SEMANGAT AB RAUF BUAT NORIZA
Next post MELAKA MASIH UNGGUL DI GELANGGANG KARATE