Sorting by

×

WRUR REMBIA: JELAJAH KAMPUNG BANTU PENDUDUK TUKAR KAD PENGENALAN

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

REMBIA 5 Ogos – Penduduk kampung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia yang telah menerima alamat baharu menerusi inisiatif Kampung Digital kini boleh menukar kad pengenalan mereka dengan lebih mudah di kawasan kampung masing-masing.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, ia menerusi inisiatif pembukaan kaunter bergerak oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang akan menjelajah ke kampung-kampung terlibat dengan inisiatif Kampung Digital bermula 11 Ogos ini.

Beliau yang juga Penyelaras DUN Rembia memaklumkan, pembukaan kaunter itu membolehkan penduduk terlibat menukar kad pengenalan mereka kepada yang baharu, di mana ia bukan sahaja lebih pantas, bahkan semuanya adalah percuma.

“Saya dimaklumkan, JPN telah menyusun jadual bermula 11 Ogos hingga penutup WRUR Rembia bagi membuka kaunter bergerak untuk membantu penduduk yang menerima alamat Kampung Digital menukar kad pengenalan mereka.

“Selain itu, pada Penutup WRUR Rembia pada 16 Ogos nanti, JPN juga akan membawa bas mereka yang dapat memberi kemudahan kepada orang ramai bukan sahaja untuk menukar kad pengenalan, bahkan pelbagai lagi perkhidmatan lain turut ditawarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menghadiri Taklimat dan Sesi Edaran Alamat Kampung Digital sempena WRUR DUN Rembia di Surau Kampung Paku, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang telah memperjuangkan inisiatif Kampung Digital, selain turut menaja penukaran kad pengenalan tanpa sebarang bayaran kepada masyarakat terlibat.

“Justeru, saya menyeru kepada semua yang terlibat dengan Kampung Digital ini untuk menukar kad pengenalan kerana inisiatif secara percuma ini hanya sah sehingga 31 Disember tahun ini sahaja,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1018
Kongsi :
Previous post WRUR REMBIA: ‘MPAG DI HATI’ SANTUNI MASYARAKAT MEMERLUKAN
Next post JIWA PATRIOTIK KRT TAMAN KRUBONG HEIGHTS