
WRUR REMBIA: ‘MPAG DI HATI’ SANTUNI MASYARAKAT MEMERLUKAN
REMBIA 5 Ogos – “Kami bersyukur menerima sumbangan amat bermakna ini. Terima kasih Kerajaan Negeri kerana mengilhamkan program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) ini”.
Itu kata Rozaini Roslan, 34, anak kepada Zaiton Jaafar, 58, yang merupakan penerima bantuan di bawah Program Masyarakat Di Hati Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) sempena program WRUR Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia.
Menurut Rozaini, memandangkan usia rumahnya itu sudah mencecah puluh tahun, banyak kerosakan yang berlaku, ditambah lagi sebelum ini kawasan kediamannya kerap berlakunya banjir.
“Selain ada bumbung yang bocor keadaan sistem pendawaian juga sudah teruk dan perlu dibaiki namun kerana kurang berkemampuan hasrat untuk baik pulih terpaksa ditangguh dahulu.
“Alhamdulillah, ketika dimaklumkan yang rumah emak terpilih untuk dibaik pulih dan dilakukan pendawaian baharu, kami amat lega, terharu dan bersyukur,” katanya.
Dia ditemui selepas Program Masyarakat Di Hati MPAG Tahun 2025 yang disempurnakan Penyelaras DUN Rembia, Datuk Fairul Nizam Roslan dan turut dihadiri Yang Dipertua MPAG TPr. Saifuddin Abdul Karim, di Kampung Jelatang, di sini, hari ini.
Terdahulu, menerusi program tersebut, selain baik pulih rumah mereka yang kurang bernasib baik, MPAG turut mengadakan gotong-royong membersihkan kediaman penerima.
Rozaini berkata, mewakili ibunya dia amat bersyukur kerana Kerajaan Negeri menerusi MPAG amat prihatin dengan nasib rakyat khususnya golongan memerlukan.
“Sebelum ini hanya mendengar WRUR diperkatakan tetapi kini saya tahu dengan lebih jelas selain program seperti ini amat membantu rakyat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.