Sorting by

×

WRUR REMBIA: ZIARAH KASIH MAIM BERI KEKUATAN KEPADA ASNAF

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

REMBIA 5 Ogos – “Jauh di sudut hati ini saya rasa amat terharu dan tersentuh apabila masih ada yang masih ingat dan sudi datang ziarah ke rumah saya ini,” luah Haizatun Ahmad.

Haizatun, 55, yang kini terlantar akibat strok sebelah badan antara lima keluarga asnaf yang dikunjungi pada Sumbangan Kasih Rumah Asnaf bersempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia.

Menurut wanita itu, meskipun sebelum ini dia ada menerima kunjungan daripada beberapa pihak namun kedatangan Penyelaras DUN Rembia Datuk Fairul Nizam Roslan bersama Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) sedikit sebanyak ‘memecah hening’ di kediamannya.

Katanya, selain strok dia turut menghidap kencing manis serta darah tinggi selain tidak lagi dapat bergerak aktif dan masanya hanya dihabiskan di rumah.

“Suasana di rumah agak riuh apabila ramai yang datang dan bertanya khabar malah YB (Yang Berhormat) Fairul sendiri amat mengambil berat tentang keadaan saya.

“Kunjungan ini juga sedikit sebanyak dapat memberi kekuatan untuk saya terus bersemangat menjalani kehidupan harian,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Sutera, di sini, hari ini.

Terdahulu, dalam kunjungan itu juga selain menerima sumbangan wang tunai, ibu kepada lima anak itu turut menerima sumbangan kit makanan.

Haizatun berkata, sepanjang diuji dengan keadaan diri yang tidak sihat dan tidak lagi dapat bekerja dia amat bersyukur apabila menerima bantuan daripada MAIM dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1012
Kongsi :
Previous post JIWA PATRIOTIK KRT TAMAN KRUBONG HEIGHTS
Next post MELAKA RAI 2,000 WIRA KESIHATAN