
WRUR: SAYANG ANAK BUKAN DIMANJA, IBU BAPA PERLU PEKA PERUBAHAN KANAK-KANAK
KLEBANG 16 Oktober – “Sayangakan anak bukan dimanja, tapi dijaga dengan hikmah dan bijaksana,” tegas Timbalan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Leng Chau Yen ketika merasmikan Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: Kasih Kanak-Kanak 2025 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ying Chye, di sini, semalam.
Chau Yen, turut memberi pesanan kepada ibu bapa dalam kalangan guru yang hadir untuk mendidik jiwa dan akal sempurna anak-anak demi masa depan negara tercinta selain peka dengan perubahan fizikal serta mental mereka.
Jelasnya, advokasi bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang merupakan usaha perkukuh jaringan perkhidmatan dan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap masyarakat.
“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Melaka melaksanakan program advokasi ini bukan sahaja untuk memberi kesedaran kepada pelajar, malahan golongan penjaga, ibu bapa juga perlu sedar mengenai isu atau perkara membabitkan kanak-kanak,” katanya.
“WRUR hasil cetusan idea Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh membolehkan pelbagai agensi kerajaan menyalurkan maklumat, bantuan serta perkhidmatan secara terus kepada rakyat, termasuk murid serta pelajar sekolah.
“Pendekatan turun padang ini bukan sahaja memperkukuh hubungan antara agensi kerajaan dan masyarakat setempat, malah mencerminkan semangat prihatin serta tanggungjawab sosial tinggi dalam kalangan warga Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: Kasih Kanak-Kanak di Sekolah Kebangsaan Cina (SJKC) Ying Chye di sini hari ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang, Datuk Wira Lim Ban Hong dan Pengarah JKM negeri Halyjah Muhamad serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Chau Yen berkata JKM akan terus memainkan peranan dalam memberi kesedaran terhadap semua pihak mengenai isu semasa membabitkan tanggungjawab ibu bapa terhadap kanak-kanak.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Urus Setia program atas kejayaan menganjurkan program dengan pengisian bermanfaat, termasuk ceramah mengenai Buli Siber oleh Suruhanhaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan keselamatan kanak-kanak oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Pelaksanaan program seumpama ini diharap dapat memberi suntikan semangat kepada semua pihak agar terus memelihara kesejahteraan kanak-kanak dan membentuk generasi masa depan yang lebih berilmu serta berakhlak,” jelasnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.