Sorting by

×

WRUR: SAYUR SEGAR, MURAH DARI KEBUN KOMUNITI TAMAN ANGKASA NURI

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

DURIAN TUNGGAL 1 November – Penduduk Taman Angkasa Nuri kini menikmati sayur-sayuran segar pada harga lebih murah hasil inisiatif Kebun Komuniti yang diusahakan secara gotong-royong oleh komuniti setempat.

Inisiatif hijau itu bukan sahaja mencantikkan kawasan perumahan, malah membantu meringankan beban perbelanjaan dapur penduduk apabila hasil tuaian seperti sawi putih, pakchoi, salad, kangkung dan cili dijual pada harga berpatutan.

Ahli Jawatankuasa Kebun Komuniti Taman Angkasa Nuri, Mohd Yasin Baba, 67, berkata usaha penduduk itu kini semakin berkembang hingga berjaya melakukan jualan hasil tuaian sebanyak tiga kali sepanjang tahun ini.

“Kami semua bermula dengan semangat sukarela dan sokongan penduduk taman. Alhamdulillah, hasilnya bukan saja untuk keindahan taman, tetapi turut membantu menjana sedikit pendapatan komuniti.

“Kebun komuniti ini menjadi platform dalam mengeratkan hubungan kejiranan selain menggalakkan gaya hidup sihat melalui aktiviti pertanian bandar.

“Wang jualan dari hasil tuaian ini pula digunakan semula untuk membeli benih baharu dan menambah baik kemudahan kebun komuniti demi kelangsungan projek ini,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini di tapak Kebun Komuniti Taman Angkasa Nuri, di sini, semalam.

Img 20251101 103120 548
PENDUDUK membeli sayur-sayuran segar pada harga murah. Foto Afiq Mustaffa

Dalam pada itu, penduduk taman, Saniah Sam, 72, berkata jualan sayur segar daripada kebun berkenaan memberi banyak manfaat kerana dijual jauh lebih murah berbanding di pasar.

“Sayuran dijual ini memang murah dan segar. Sejak ada jualan ini, saya jarang ke pasar kerana lebih mudah beli dari jiran sendiri,” katanya.

Nada sama disuarakan seorang lagi penduduk taman, Nur Adira Ahmad, 28, yang menyifatkan kebun komuniti itu sebagai inisiatif terbaik untuk kesejahteraan bersama.

“Setiap kali ada hasil tuaian, kami akan dimaklumkan dalam group WhatsApp komuniti. Sayurnya segar, boleh petik sendiri dan harganya sangat berpatutan.

“Saya harap kebun ini kekal lama sebab manfaatnya bukan saja kepada pembeli, tetapi kepada seluruh komuniti,” katanya.

Kebun Komuniti Taman Angkasa Nuri turut mengambil bahagian dalam Jualan Rahmah sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal selama dua hari bermula 31 Oktober sehingga 1 November bermula jam 9 pagi.

Antara harga jualan ditawarkan adalah sawi putih RM8 sekilogram (kg), salad RM12 per kg, sawi pakchoi RM6 per kg, kangkung RM4 per kg, dan cili padi RM5 sebungkus.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

475
Kongsi :
Previous post PENEMUAN KAPAL ABAD KE-13 BUKTI PENTING KEHEBATAN MARITIM MELAKA
Next post LARIAN BUDAYA ANTARABANGSA DUYONGKITA 2025 LEBIH MERIAH