Sorting by

×

WRUR: SENTUHAN JIWA CIKGU ZAIDI DALAM SENI KHAT

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

DURIAN TUNGGAL 5 November – Walaupun sudah 10 tahun meninggalkan dunia pendidikan, minat mendalam terhadap seni khat membuatkan Zaidi Osman, 68, terus aktif berkarya dari rumahnya di Kampung Belimbing Dalam, di sini.

Bekas Guru Seni Visual Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Haji Talib Karim, Alor Gajah itu kini mengusahakan galeri seni visual di kediamannya, tempat beliau menghasilkan dan mempamerkan karya pelbagai jenis khat seperti Nasakh, Sulus, Diwani serta Diwani Jali.

“Saya terlibat dalam seni khat sejak lebih 35 tahun lalu, bermula ketika mengajar di Sabah dan Kuala Lumpur.

“Sejak pulang ke Melaka, saya tidak berhenti berkarya dan berkongsi ilmu dengan masyarakat,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini di Balai Raya Kampung Belimbing Dalam, di sini, semalam.

Whatsapp image 2025 11 04 at 12.26.52 pm
ZAIDI menunjukkan seni khat yang dihasilkan.

Menurutnya, hasil karya dihasilkan tidak hanya diminati di Melaka malah turut menerima tempahan dari Pahang, Sabah dan Johor selain universiti serta muzium yang menjemputnya untuk memberikan tunjuk ajar berdasarkan pengalaman dimiliki.

“Saya tidak pernah masuk pertandingan, tapi kepuasan saya ialah bila dapat berkongsi ilmu. Bila orang tempah hasil tulisan saya untuk dijadikan hadiah atau cenderahati, itu sudah cukup membahagiakan,” katanya sambil tersenyum.

Zaidi berkata, setiap karya dihasilkan mengambil masa hampir seminggu, namun ia bergantung kepada saiz dan jenis tulisan khat.

“Lapisan warna dilakukan berperingkat bagi mendapatkan hasil huruf yang rata dan kemas. Minat terhadap seni khat sudah bercambah sejak di bangku sekolah rendah apabila sering menyalin ayat-ayat al-Quran dan mengagumi pelajar senior yang pandai melukis.

“Saya harap seni khat ini terus hidup dan dihargai generasi muda, saya turut menerima tempahan khas termasuk hasil tulisan nama ‘Tok Rauf’ (Ketua Menteri Melaka) sebagai cenderahati,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

465
Kongsi :
Previous post WRUR: MPAG PERUNTUK RM490,000 BAIKI, BINA RUMAH KELUARGA MEMERLUKAN
Next post WRUR: MPHTJ ARAHKAN PEMAJU ATASI SEGERA MENDAPAN TANAH