Sorting by

×

WRUR: SK BELIMBING DALAM DAPAT BANGUNAN BAHARU

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

DURIAN TUNGGAL 1 November – Sekolah Kebangsaan (SK) Belimbing Dalam bakal menerima bangunan bilik darjah baharu bagi menampung pertambahan murid serta kepadatan penduduk di kawasan terbabit.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal Datuk Zahari Abd Kalil memaklumkan pembinaan bangunan tambahan di sekolah tersebut dijangka akan bermula tahun hadapan.

Katanya, projek itu bakal menelan kos yang dianggarkan berjumlah kira-kira RM25 juta.

“Pembinaan bangunan tambahan ini akan dilaksanakan sebaik kontraktor dilantik dan projek tersebut sudah tersenarai dalam pelan pembangunan pendidikan negeri.

“Kita sudah nampak sinar, insya-Allah tahun hadapan kerja penambahan bilik darjah di SK Belimbing Dalam akan bermula.

“Malah, dua lagi sekolah iaitu SK Durian Tunggal dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Durian Tunggal juga bakal menerima bangunan tambahan, namun peruntukan dan kelulusan bagi dua projek ini masih dalam penelitian,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Zahari berkata, pembinaan bangunan tambahan itu amat penting bagi menampung peningkatan penduduk di kawasan berkenaan.

Katanya, keseluruhan kawasan DUN Durian Tunggal kini memiliki 37 taman perumahan, namun hanya memiliki sebuah sekolah menengah dan empat sekolah rendah.

“Kepadatan pelajar di beberapa sekolah kini mencecah 40 hingga 50 murid sekelas, menjadikan ruang belajar sesuatu yang mendesak.

“Sekolah sudah terlalu padat, jadi penambahan bilik darjah ini amat penting untuk keselesaan pelajar,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

502
Kongsi :
Previous post NIKMATI PELANCONGAN MALAM DENGAN HARGA RM10 MALAM INI
Next post PENEMUAN KAPAL ABAD KE-13 BUKTI PENTING KEHEBATAN MARITIM MELAKA