
WRUR SUNGAI UDANG BANGKITKAN AURA DONDANG SAYANG
SUNGAI UDANG 26 Mei – Aura dan semangat dondang sayang yang menjadi identiti Negeri Melaka berjaya dibangkitkan menerusi penganjuran Pertandingan Dondang Sayang Peringkat Negeri Melaka Sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang.
Penyelaras DUN Sungai Udang Datuk Rais Yasin berkata, penganjuran bukan sahaja berjaya menarik minat segenap lapisan masyarakat, khususnya generasi muda, bahkan ia juga mengembalikan kegemilangan Sungai Udang yang pernah melahirkan ikon seni dondang sayang.
Malah, beliau berkata, inisiatif itu juga berupaya memelihara warisan seni dan budaya negeri, sekali gus membuktikan bahawa WRUR cetusan idea Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh memberi kesan cukup mendalam kepada rakyat dan negeri.
“Program ini bukan sekadar hiburan, tetapi ia merupakan usaha dalam mengekalkan seni dan warisan Melaka, malah signifikannya ia dapat membangkitkan semangat warga Sungai Udang dan rakyat Melaka sendiri agar terus menghargai seni yang diwarisi sejak zaman berzaman.
“Alhamdulillah saya cukup berbangga dengan sambutan yang diterima dan lebih istimewa apabila juara kategori tarian dan nyanyian dimenangi oleh anak muda yang masih bersekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Dondang Sayang Peringkat Negeri Melaka Sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Sungai Udang yang disempurnakan Ketua Menteri di Japerun Sungai Udang, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman dan Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Tuminah Kadi @ Mohd Hashim.
Turut bersama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman; Pengurus Besar Institut Warisan Melaka (INSWA) Drs. Mohd Nasruddin Rahman serta lain-lain kenamaan.
Dalam pada itu, Rais yang juga Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri berkata, genap seminggu WRUR berlangsung di DUN Sungai Udang, pelbagai manfaat dan pencapaian telah dinikmati rakyat di kawasan itu menerusi inisiatif turun padang yang diadakan setiap hari.
Lebih penting, ujar beliau, program itu dapat membantu pemimpin negeri serta agensi menyelami setiap denyut nadi rakyat dan pada masa sama mewujudkan jalinan kemesraan dalam aspek santunan kepada masyarakat setempat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.