
WRUR SUNGAI UDANG PEDULI UMMAH
SUNGAI UDANG 23 Mei – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) bukan sekadar platform menyelesaikan masalah rakyat, tetapi juga menyantuni denyut nadi insan yang memerlukan.
Perkara itu dapat dilihat menerusi WRUR Sungai Udang yang telah membawakan pelbagai pengisian berkonsepkan ziarah kasih bagi menyampaikan sumbangan dan bantuan kebajikan kepada rakyat.
Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) menjadi antara agensi yang turun padang bagi menzahirkan rasa prihatin kepada insan kurang bernasib baik di Sungai Udang.
Menerusi Konvoi Ziarah Kasih Peduli Ummah, MAIM bersama pemimpin negeri telah turun ke beberapa buah rumah bagi menyampaikan sumbangan.
Konvoi itu diketuai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang merangkap Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin.
Turut bersama, Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rosli Abdullah serta Pengerusi Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI) Cawangan Sungai Udang Datin Ernie Aidilia Karim
Sebanyak enam buah rumah telah diziarahi pada program itu melibatkan kawasan di sekitar Taman Bukit Terendak, Taman Terendak Permai serta Desa Tun Razak Sungai Udang.
Turut disampaikan sumbangan barangan keperluan asas, selain Rais turut menyampaikan sumbangan peribadi beliau bagi meringankan beban keluarga yang disantuni.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.