
WRUR: TAHAN SEBAK DENGAR KELUHAN RAKYAT
DURIAN TUNGGAL 2 November – Pemberian kit makanan mengandungi bahan keperluan asas dapur, sedikit sebanyak menceriakan individu hadir berurusan di kaunter Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada Hari Aduan Rakyat Sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Udangan Negeri (DUN) Durian Tunggal di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Durian Tunggal, hari ini.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin, berkata atas dasar simpati dan cakna terhadap kepayahan rakyat, pihaknya menerusi JKM sentiasa memastikan individu memerlukan perhatian tidak pulang dengan tangan kosong.
“Kebetulan pada penganjuran Hari Aduan Rakyat di DUN Durian Tunggal kali ini petugas JKM ada bawa bersama kit makanan, jadi kita agihkan terus kepada individu yang datang membuat aduan dan memohon bantuan daripada JKM.
“JKM akan siasat kes mereka berkenaan bagi tindakan selanjutnya dan jika layak bantuan akan disalurkan berdasarkan keperluan atau keutamaan. Contoh kita mungkin salurkan bantu persekolahan untuk anak-anak pengadu ini, secara tidak langsung meringankan beban perbelanjaan mereka,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Program itu turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman, Exco Sains, Teknologi Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan, barisan Exco, Timbalan Exco, ketua jabatan serta agensi Kerajaan Negeri Melaka.
Kalsom berkata, pemohon bantuan yang hadir ke kaunter JKM melibatkan individu tidak bekerja akibat masalah kesihatan serius dan mempunyai jumlah tanggungan yang agak ramai.
Mengulas lanjut Kalsom, berkata hampir semua permasalahan melibatkan aspek kebajikan rakyat di DUN Durian Tunggal diselesaikan hasil daripada perbincangan pada sesi ‘town hall’ dilaksanakan sebelum ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


