
WRUR: TERIMA KASIH KETUA MENTERI HARGAI KAMI
DURIAN TUNGGAL 2 November – “Meskipun cuma berjabat tangan dan disapa oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, itu sudah cukup membuatkan kami sebagai petugas pembersihan berasa dihargai. Sebagai pemimpin negeri Ketua Menteri tidak kekok menyantuni kami bertiga.
“Saya dapat merasakan keikhlasan yang lahir daripada hati beliau,” kata Asnol Duraman, 64, pekerja pembersihan yang bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Durian Tunggal.
Terdahulu dia bersama dua lagi rakan iaitu Norizman Ali, 43, dan Azman Monil, 63, secara tiba-tiba didatangi Ketua Menteri yang ketika itu hadir pada Hari Aduan Rakyat Sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Udangan Negeri (DUN) Durian Tunggal di sekolah berkenaan, hari ini.
Asnol berkata, sikap Ketua Menteri itu mencerminkan keperibadiannya yang cakna terhadap rakyat segenap lapisan rakyat tanpa membeza-bezakan antara manusia dan ianya satu suri teladan harus diikuti semua pemimpin.
“Sebagai pemimpin beliau tidak melupakan orang bawahan. Paling menarik perhatian saya adalah cara Ketua Menteri menyapa kami, semuanya secara spontan menggambarkan ciri-ciri pergaulan orang Melaka di kampung-kampung,” katanya.
Sementara itu Azman, berkata meskipun bukan anak kelahiran Melaka dia dapat merasakan aura kemesraan dibawa oleh Ketua Menteri sebagai seorang pemimpin.
Dia yang berasal dari Labis, Johor, berkata perwatakan Ab Rauf menggambarkan diri beliau sebagai seorang pemimpin yang mengutakan keperluan rakyat.
“Tengok dalam gambar dan sekarang berjumpa empat mata nampak perbezaan yang amat ketara, boleh saya katakan jumpa berhadapan beliau lebih mesra. Saya doakan beliau diberikan kejayaan dalam apa juga perkara dilakukan demi faedah kepada rakyat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


