
WRUR UBAH BIROKRASI, SELESAIKAN 1,983 ADUAN RAKYAT MELAKA
GADEK 12 April – Penyelesaian masalah pada kadar segera membuktikan keberkesanan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang kini memasuki edisi ke 12 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata , secara keseluruhan sepanjang pelaksanaan WRUR, Kerajaan Negeri menerima sebanyak 2,244 aduan dan 1,983 daripadanya atau 88 peratus telah berjaya diselesaikan.
Katanya, menerusi WRUR Kerajaan Negeri mengambil serius berkaitan aduan-aduan rakyat, malah Birokrasi juga diubah bagi memastikan setiap isu disuarakan diselesaikan dalam tempoh dua minggu bergantung kepada tahap kompleksitinya.
“Bila kita perhalusi satu demi satu ada bangkitkan tentang jalan raya, lampu dan longkang, ada juga hal-hal harian yang mungkin nampak kecil, tetapi cukup besar maknanya bagi mereka.
“Semua ini menunjukkan bahawa setiap isu peringkat akar umbi perlu diberi perhatian segera dan diselesaikan dengan sebaik mungkin oleh semua jabatan dan agensi,” kata Ketua Menteri.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Jamuan Aidilfitri Melaka Sayang Rakyat & Perasmian Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek di Taman Sebang Gemilang, di sini, semalam.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad, Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gadek dan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan merangkap Adun Asahan.
Yang turut hadir Ahli Dewan Negara Senator Datuk Mustafa Musa dan Pegawai Daerah Alor Gajah Datuk Sabrina Thalas.
Ab Rauf, menegaskan kepada semua jabatan dan agensi agar mengusahakan penyelesaian yang terbaik demi kesejahteraan rakyat, bukan sekadar memberikan hasil pada tahap minimum.
“Turun padang, dengar sendiri suara rakyat dan bertindak segera. Mana yang boleh diselesaikan, selesaikan serta-merta dan yang memerlukan tindakan susulan, pastikan dipantau sehingga selesai,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


