
WTD 2025 BAKAL LONJAK NAMA MELAKA, BERI TEMPIAS KEPADA RAKYAT
BANDARAYA MELAKA 21 September – Sambutan Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025 yang julung kali diadakan di Melaka amat dinanti-nantikan rakyat negeri ini.
Dengan kehadiran Menteri Pelancongan dan delegasi dari 159 negara ke Melaka, ia bukan sahaja memberi impak kepada Melaka sebagai sebuah negeri pelancongan, bahkan limpahannya juga akan dirasai peniaga dan penduduk tempatan.
Bagi penjawat awam, Nazril Hizam Yusoff, 40, sebagai rakyat Melaka dia amat berbangga dengan pemilihan Melaka sebagai lokasi sambutan bakal memperlihatkan kemampuan negeri ini dalam penganjuran acara bertaraf dunia.
“Secara umumnya sebagai orang Melaka kami amat mengalu-alukan kedatangan delegasi ini kerana penganjuran sebegini jarang diadakan kerana ia bukan sesuatu yang mudah untuk menghimpunkan sebegitu ramai delegasi pada satu-satu masa.
“Ini membuktikan kredibiliti Kerajaan Negeri dalam menjayakan sambutan selain itu sambutan WTD 2025 juga akan membantu memantapkan lagi sektor pelancongan Melaka.
“Kehadiran delegasi ini ke Melaka sudah pasti secara tidak langsung akan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri malah akan memberi tempias kepada peniaga kecil,” katanya.
Turut senada, Arina Saffuraa Alim, 35, yang optimis kedatangan delegasi antarabangsa ke Melaka bakal melonjakkan lagi nama negeri bersejarah ini ke mata dunia.
“Kedatangan delegasi luar negara ke Melaka ini juga merupakan peluang untuk kita kenalkan kembali sejarah Melaka.
“Pastinya dengan segala pengisian program yang diatur oleh Kerajaan Negeri sambutan ini akan memberikan kenangan berharga buat delegasi yang datang,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.