
WTD 2025: MBMB TINGKAT IMEJ BANDARAYA MELAKA
BANDA HILIR 6 Ogos – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) giat melaksanakan kerja-kerja mengindahkan Bandaraya Melaka ke arah persediaan menyambut Hari Pelancongan Sedunia (WTD) 2025, September depan.
Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata, pihaknya telah mengatur sebanyak lapan program pembersihan melibatkan kakitangan MBMB di beberapa lokasi pelancongan ikonik di negeri ini.
Katanya, program pembersihan itu merupakan antara inisiatif berterusan bagi mempertingkat imej bandaraya dengan penekanan bukan sekadar pembersihan, sebaliknya turut merangkumi keceriaan dan kerja naik taraf.
Jelasnya, antara yang dilaksanakan adalah menambah baik pencahayaan, penurapan jalan, pengecatan bahu jalan serta penyelenggaraan landskap baharu di bawah kawasan pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu.
“Bermula 5 Ogos lalu, kita telah memulakan kerja-kerja ini secara berperingkat iaitu bermula di kawasan Jejantas Tun Teja dengan penglibatan 150 kakitangan MBMB.
“Seterusnya lokasi pembersihan akan dilakukan di laluan pejalan kaki tebing Sungai Melaka; Dataran Persahabatan China-Melaka; Pahlawan Walk; Jalan Hang Tuah; Jalan Syed Abdul Aziz dan persimpangan Element Mall,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, Shadan berkata usaha itu adalah sebahagian daripada persiapan menyeluruh bagi menerima kehadiran Menteri-Menteri Pelancongan dunia serta delegasi dari pelbagai negara pada September nanti.
“Kita harapkan warga bandaraya untuk terus menjaga kebersihan dan keindahan Melaka dengan tidak membuang sampah merata-rata bagi bersama-sama memastikan Melaka tampil berseri menyambut pelawat antarabangsa,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.