Sorting by

×

WTD 2025: PPSPM BAWA DELEGASI DUNIA NIKMATI SUNGAI MELAKA, SUNGAI LINGGI

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

BANDARAYA MELAKA 22 September – Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) giat melaksanakan persiapan rapi bagi menyambut delegasi dunia sempena Hari Pelancongan Sedunia (WTD) 2025 pada 27 hingga 29 September ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM, Shaharul Azuar Idris berkata, antara peranan dimainkan PPSPM adalah membawa kira-kira 300 delegasi pada lawatan teknikal menikmati keindahan Sungai Melaka dengan Melaka River Cruise, manakala seramai 70 lagi akan dibawa melihat keindahan flora dan fauna dengan Eco Cruise Sungai Linggi.

Katanya, antara persiapan yang dilaksanakan merangkumi aspek keselesaan, keselamatan, kebersihan dan imej terbaik bagi memperkenalkan produk pelancongan Melaka di mata dunia.

“Antara persiapan lain yang sedang diat dilakukan juga termasuk kerja pembersihan Sungai Melaka, jeti, bot serta ruang menunggu, selain pemasangan bendera dan banner bertulis ‘Selamat Datang Delegasi WTD.

“PPSPM turut menyediakan kelengkapan seperti jaket keselamatan, sistem audio dan pencahayaan yang lengkap, selain penyeragaman pakaian petugas barisan hadapan dengan kemeja-t khas WTD,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Shaharul Azuar berkata bagi menambah seri sambutan itu, pasukan ‘usher’ akan mengenakan pakaian ‘captain cruise’ dan busana tradisional Melaka seperti kebaya dan baju Melayu.

Katanya, cenderahati khas PPSPM juga akan disediakan untuk para tetamu.

“Dalam aspek keselamatan, PPSPM menempatkan pasukan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Jabatan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang bersiap siaga di lokasi, selain lifeguard dan pasukan perubatan bagi tujuan kecemasan.

“Selain itu, pemandu pelancong bertauliah juga akan ditugaskan memberi penerangan berkaitan sejarah Sungai Melaka serta bangunan bersejarah di sepanjang laluan.

“Empat unit bot turut dihias dengan ‘wrapping’ bertemakan World Tourism Day, manakala syarikat Zuss dan Mamee mengambil bahagian dalam rekaan bot baharu untuk sambutan tersebut,” katanya.

Tambahnya, PPSPM juga menggerakkan hebahan promosi melalui media sosial serta memperkenalkan tawaran harga istimewa sempena WTD bagi produk pelancongan Melaka termasuk Melaka Sea Cruise, Eco Cruise Sungai Linggi dan Eco Cruise Tasik Chin.

“Kami mahu memastikan delegasi WTD kali ini bukan sahaja meninggalkan kenangan indah, tetapi turut membawa mesej bahawa Melaka sentiasa bersedia menyambut pelancong dengan hospitaliti bertaraf dunia,”ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1066
Kongsi :
Previous post PENDUDUK LEGA, LONGKANG MONSUN MBMB BERKESAN ATASI BANJIR
Next post KERAJAAN TIDAK CADANG UBAH PRINSIP ROGOL STATUTORI – AZALINA