
WTD, WTC 2025: MELAKA BAKAL PECAH BEBERAPA REKOD BAHARU
BANDA HILIR 16 September – Melaka bersedia memecahkan beberapa rekod baharu negara menerusi penganjuran Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025 pada 27 hingga 29 September ini.
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, hasrat itu mampu dicapai menerusi beberapa pengisian program yang telah dirangka bagi menyambut dan menghiburkan delegasi dunia pada acara tersebut.
Menurut beliau, antara yang berpotensi untuk memecahkan rekod adalah persembahan tarian zapin yang bakal menampilkan 1,000 penari dari seluruh Malaysia, termasuk negara serantau.
“Insya-Allah, ada beberapa rekod baharu boleh dipecahkan sempena WTD dan WTC 2025, di mana dalam masa terdekat, kita akan membuat keputusan menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada sambutan Ambang Hari Malaysia 2025 Peringkat Negeri Melaka di perkarangan Bangunan Stadthuys, Banda Hilir.
Hadir sama, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam; Timbalan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Banda Hilir Leng Chau Yen; Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem serta Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Zahari Abd Kalil.
Turut bersama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman; Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Negeri Melaka Nasrul Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Taming Sari Berhad Nur Azan Hassan serta lain-lain kenamaan.
Selain tarian zapin nusantara, Abdul Razak memaklumkan, langit Melaka juga akan diserikan dengan pertunjukan lebih 1,000 dron yang menjadi antara gimik bagi Pelancaran Tahun Melawat Malaysia (VM2026) yang akan disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada malam 27 September di Encore Melaka yang juga akan dihadiri delegasi WTD dan WTC 2025.
Selain itu, beliau berkata, Ketua Menteri juga akan meluncurkan satu lagi penemuan sejarah baharu membabitkan anak Melaka pertama yang pernah mengelilingi dunia iaitu Panglima Awang, di mana pamerannya akan turut menyerikan sambutan WTD dan WTC 2025 di Encore Melaka.
“Pada masa sama, kita juga akan mengadakan program-program sampingan seperti Pesta Konda Kondi yang bertujuan mengangkat permainan tradisional negara ke peringkat antarabangsa, selain Festival Layang-Layang serta pelbagai lagi pengisian yang telah dirangka,” ujar beliau.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.