Sorting by

×

WUJUDKAN RUANG DAYA CIPTA DI PERPUSTAKAAN AWAM MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

REMBIA 9 Ogos – Kerajaan Negeri sedang dalam usaha mewujudkan Ruang Daya Cipta di Perpustakaan Awam Negeri Melaka tahun ini.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, langkah itu diambil bagi memperkasa pelajar di negeri ini lebih berdaya cipta dan inovatif, di samping merakyatkan perpustakaan.

“Pada tahun lalu, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah meluluskan peruntukan bagi pembangunan Ruang Daya Cipta di Melaka International College of Science And Technology (MiCoST), jadi tahun ini kita memilih Perpustakaan Awam Negeri Melaka sebagai lokasi kedua.

“Diharap usaha ini dapat membantu melahirkan lebih ramai anak muda dalam aspek inovasi dan daya cipta,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Komuniti Jom Ke Perpustakaan Cawangan Alor Gajah Sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri merangkap Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Melaka (PERPUSTAM) Datuk Rosli Abdullah.

Fairul Nizam yang juga Penyelaras DUN Rembia memaklumkan, bagi menyokong transformasi digital di perpustakaan awam, kerajaan turut memperuntukkan RM100,000 setahun, khusus untuk pembangunan kandungan, langganan sumber digital dan peningkatan e-buku.

Selain itu, jelas beliau, terdapat juga bahan interaktif seperti X-Box, Virtual Reality (VR), Augmented Reality (AR) dan perkhidmatan komputer disediakan.

“Inisiatif ini bukan sekadar pelaburan dalam buku dan teknologi tetapi lebih penting ia adalah pelaburan dalam masa depan rakyat Melaka.

“Justeru, marilah kita sama-sama memanfaatkan kemudahan di perpustakaan untuk meningkatkan ilmu pengetahuan, memperkukuh budaya membaca dan membina masyarakat berilmu serta berbudaya tinggi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

613
Kongsi :
Previous post HEBAT, WRUR PLATFORM BERKESAN SELESAI ADUAN RAKYAT
Next post WRUR REMBIA BANTU BELIA FAHAM DEMOKRASI