Sorting by

×

WWF-MALAYSIA DIDIK PELAJAR LINDUNGI HIDUPAN LIAR TERANCAM

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

BANDA HILIR 20 Jun – Tabung Hidupan Liar Sedunia – Malaysia (WWF – Malaysia) komited memberi pendedahan kepada generasi muda untuk bersama melindungi hidupan luar, khususnya spesies yang diancam kepupusan.

Antara inisiatif yang diadakan adalah menjalin kerjasama dengan Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) menganjurkan Bicara Santai @ Muzium Samudera yang memberi penekanan terhadap kepentingan memelihara habitat penyu karah, salah satu spesies yang semakin terancam.

Bertemakan ‘Penyu Karah Khazanah Lautan Warisan Melaka’, ia bertujuan mendidik dan menyemai kesedaran dalam kalangan generasi muda dalam berperanan sebagai tonggak perubahan memulihara spesies berkenaan.

Menurut Penolong Pengurus Penglibatan Belia WWF-Malaysia, Geetha Maniam, program selama setengah hari itu membabitkan pelbagai pengisian interaktif kepada peserta, antaranya menumpukan kepada aspek pendidikan dan pengalaman secara langsung.

“Ramai yang belum tahu bahawa Melaka merupakan lokasi pendaratan tertinggi penyu karah untuk bertelur, jadi kami guna pendekatan ini supaya pelajar lebih faham dan rasa mempunyai rasa bertanggungjawab.

“Antara pengisian yang diambil adalah ceramah yang menyentuh tentang ciri-ciri penyu karah, habitatnya, ancaman yang dihadapi serta langkah-langkah konservasi yang boleh diambil oleh orang awam.

“Selain itu, kita turut menyelitkan aktiviti-aktiviti menarik, antaranya membina model penyu karah menggunakan bahan-bahan kitar semula seperti surat khabar lama, botol plastik, straw, penutup botol dan lain-lain,” katanya.

Tambahnya lagi, aktiviti seperti itu memberi impak lebih besar kerana selain mengasah kreativiti, mereka turut didedahkan secara langsung kepada kesan pencemaran plastik terhadap kelangsungan hidup penyu.

“Dengan pendekatan kreatif dan praktikal, kita bukan sahaja menyampaikan ilmu namun membantu bagi membentuk sikap pelajar supaya menjadi lebih peka dan berpotensi menjadi penyampai maklumat kepada rakan-rakan serta keluarga mereka.

“Kami percaya pendidikan awal boleh membawa perubahan besar dan melalui program ini, pelajar diharapkan dapat menjadi ejen bagi menjaga warisan laut kita,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1001
Kongsi :
Previous post ‘NAK MASAK PUN BERDEBAR’
Next post NTW 2025: PELUANG MASYARAKAT LUAR BANDAR MELAKA TINGKAT KEMAHIRAN