Sorting by

×

YB, JPKK BANTU USAHAWAN SPA MUSLIMAH BERSINAR

Masa Membaca:2 Minit, 14 Saat

PAYA RUMPUT 21 Februari – Siapa sangka, bermula dengan menawarkan rawatan kecantikan dan urutan dari rumah, seorang wanita kini berupaya mengembangkan perniagaannya dengan membuka sebuah spa kecantikan yang serba lengkap dan moden.

Nur Syahira Kamaruddin, 33, membuktikan usaha tidak mengkhianati hasil apabila perniagaan secara kecil-kecilan yang dimulakan sejak enam tahun lalu kini semakin mendapat perhatian ramai sehingga lahirnya Bright Glow Beauty & Wellness di sebuah lot kedai di Taman Tanjung Minyak Setia.

Berkongsi kisahnya, bekas pembantu klinik itu memaklumkan, perniagaannya terus mengukuh apabila terpilih menerima geran Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) hasil bantuan daripada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Bukit Datuk.

Dengan bantuan kewangan berjumlah kira-kira RM30,000, dia memanfaatkannya bagi membeli mesin dan peralatan, termasuk kemudahan sauna bagi spa tersebut, selain turut menambah modal sendiri bagi pelbagai kemudahan lengkap untuk pelanggan.

“Menerusi geran ini, saya dapat menambah lagi perkhidmatan dan rawatan kepada pelanggan menerusi mesin dan peralatan moden, secara tidak langsung membantu perniagaan ini terus berkembang.

“Saya amat berterima kasih kepada JPKK Bukit Datuk dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput Datuk Rais Yasin kerana membantu saya mengembangkan perniagaan ini, selain turut menawarkan khidmat nasihat,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Img 20260220 234551 798
NUR Syahira menunjukkan antara peralatan yang dibeli dengan peruntukan SeJATi MADANI. Foto Muhammad Rasul Azli Samad

Menurutnya, melalui geran tersebut, dia juga dapat memberi manfaat kepada komuniti dengan membuka peluang pekerjaan secara fleksibel kepada suri rumah.

Sehingga kini, dia berjaya mengupah lima pekerja termasuk ada di antaranya merupakan suri rumah yang membantu perniagaan secara dalam talian bagi tempahan dan jualan produk kecantikan sendiri yang dinamakan B’Glow.

Bercerita mengenai perkhidmatan yang ditawarkan, Nur Syahira berkata, Bright Glow Beauty & Wellness menawarkan rawatan wajah, urutan badan, sauna, mandi bunga, rawatan rambut serta rawatan tangan dan kaki dengan konsep pusat kecantikan lengkap khusus untuk wanita muslimah.

Jelasnya, harga yang ditawarkan bagi rawatan wajah adalah serendah RM49 hingga RM299, manakala urutan bermula RM79 sehingga RM299 bergantung kepada pakej yang diambil pelanggan.

Img 20260220 234532 377
ANTARA pelanggan yang mendapatkan rawatan kecantikan di spa berkenaan. Foto Muhammad Rasul Azli Samad

“Kebanyakan pelanggan saya adalah dalam kalangan wanita bekerja yang mahu ‘release stress’ di tempat kerja, selain mereka yang mementingkan penjagaan diri.

“Pelanggan saya bukan hanya datang dari kawasan sekitar dan Negeri Melaka, sahaja, malah turut menerima tempahan wanita dari Johor, Kuala Lumpur dan Selangor,” katanya yang hanya menerima pelanggan menerusi tempahan.

Tambahnya, dia kini telah mengikuti pelbagai kursus jangka pendek dan semakin hampir untuk memiliki Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 ke arah menggapai impiannya untuk membuka lebih banyak cawangan pada masa akan datang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

387
Kongsi :
Previous post KUNJUNGI MEMORIAL HAYATI PERJUANGAN TOKOH KEMERDEKAAN
Next post PENDUDUK KRUBONG BERSYUKUR MASALAH TANAH KUBUR ‘KRITIKAL’ KINI SELESAI