
YB RAIS PRIHATIN NASIB RAKYAT BERBILANG KAUM
PAYA RUMPUT 11 Februari – Inisiatif berterusan Kerajaan Negeri yang mengagihkan sumbangan bantuan setiap kali musim perayaan membuktikan keprihatinan terhadap golongan memerlukan.
Sumbangan yang diberikan membawa makna besar kepada setiap penerima apabila diantara mereka yang ingin berbelanja barangan dapur dan membeli keperluan untuk menyambut perayaan yang akan tiba.
Bagi penerima bantuan Sharon Ong, 63, berkata, komitmen berterusan Kerajaan Negeri bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan bahawa rakyat sentiasa diberi perhatian.
Menurutnya, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput Datuk Rais Yasin turut memainkan peranan penting dalam memastikan tiada golongan yang memerlukan tercicir daripada menerima bantuan.
“Meskipun sumbangan ini atas nama suami namun besar maknanya apabila dapat membantu kami dalam perbelanjaan dapur dan hal berkaitan penyakit suami.
“Ia secara tidak langsung membantu meringankan beban dan membawa harapan serta semangat untuk menyambut Tahun Baharu Cina walaupun dalam suasana sederhana,” katanya.

Bekas jururawat itu berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Sumbangan Tahun Baharu Cina Parlimen Tangga Batu sempena Karnival Demi Paya Rumput, di Dewan Taman Paya Rumput Perdana, di sini, hari ini.
Majlis itu disempurnakan Rais dan turut bersama Adun Klebang Datuk Wira Lim Ban Hong.
Sementara itu seorang lagi penerima bantuan, Amylee Pek Lin, 82, berkata, dia amat lega apabila dimaklumkan layak menerima bantuan yang sangat membantu meringankan perbelanjaan sempena perayaan tahun ini.
“Terima kasih Kerajaan Negeri, JKM dan Yang Berhormat (YB) kerana sentiasa cakna nasib rakyat dan membantu meringankan beban kami,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


