
‘YES! ROCK THE SCHOOL’ PEMANGKIN MASA DEPAN BELIA
DURIAN TUNGGAL 14 Ogos – Program YES! Rock The School disifatkan sebagai katalis membentuk hala tuju masa depan belia negara, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Menurut Ketua Menteri, platform tersebut mendedahkan pelajar sekolah menengah kepada pelbagai bidang kerjaya termasuk seni, sekali gus mempersiapkan mereka menghadapi cabaran akan datang.
“Kita ada 9.7 juta belia dan melalui program ini kita cuba melatih 400,000 anak-anak dalam pelbagai bakat. Justeru program ini membuka minda untuk anak-anak ini bersedia menghadapi masa depan yang mencabar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup YES! Rock The School Edisi Mega 2025 di Dewan Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), di sini, hari ini.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Sutekno Ahmad Belon dan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UTeM, Prof. Dr. Zulkiflie Ibrahim.
Ab Rauf turut berterima kasih kepada Kerajaan MADANI dan KESUMA yang telah menyalurkan peruntukan untuk menjayakan Program YES! Rock The School.
“Sudah tentu program ini dapat memberi gambaran masa depan anak-anak untuk diasuh dalam sebuah kerajaan yang membina rakyat demi masa depan,” katanya.
Program tersebut merupakan anjuran KESUMA yang mendapat kerjasama Kementerian Pendidikan dan TalentCorp.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.