
YURAN TADIKA PERCUMA UNTUK HAMPIR 600 ANAK TELOK MAS
TELOK MAS 26 Februari – Agenda pemerkasaan pendidikan terus menjadi keutamaan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.
Abdul Razak berkata, usaha itu dilaksanakan bermula dari peringkat pendidikan awal kanak-kanak apabila setakat ini hampir 600 anak Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas menikmati yuran percuma bagi pendaftaran kemasukan ke Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika).
Katanya, inisiatif itu bersifat serampang dua mata kerana bukan sahaja meringankan beban ibu bapa, sebaliknya turut memastikan tidak ada anak tempatan yang keciciran dalam bidang pendidikan.
“Untuk sesi persekolahan 2026 pemberian yuran ini membabitkan seramai 287 murid dari 12 buah Tabika KEMAS di DUN Telok Mas dan 300 lagi anak-anak Tadika Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).
“Pemberian yuran Tabika KEMAS membabitkan nilai RM100 setiap seorang dan sudah diberikan pada minggu lalu (15 Februari), sementara itu Tadika JAIM akan menyusul dalam masa terdekat,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau yang juga Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri berkata, pendidikan awal kanak-kanak amat penting dalam membentuk sahsiah serta asas pembelajaran sebelum melangkah ke alam persekolahan rendah.
“Insya-Allah, kita akan terus komited memperkukuh agenda pendidikan dan kebajikan agar manfaatnya dapat dirasai seluruh warga Telok Mas,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

