
ZAKAT MELAKA SASAR KUTIPAN RM162 JUTA TAHUN INI
BUKIT KATIL 5 Mac – Zakat Melaka menyasarkan kutipan sebanyak RM162 juta bagi tahun ini dengan peningkatan dijangka melibatkan zakat fitrah dan zakat harta.
Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka Zohaime Muhamad Sori berkata, daripada jumlah itu pihaknya menyasarkan kutipan zakat fitrah sebanyak RM6.9 juta, berbanding RM6.6 juta tahun lalu.
“Bagi 2025 Zakat Melaka meletakkan sasaran kutipan keseluruhan sebanyak RM153 juta, namun jumlah direkodkan cuma RM145 juta sahaja.
“Meskipun tidak mencapai jumlah sasaran ditetapkan secara keseluruhan kutipan zakat bagi Negeri Melaka bagi 2025 menunjukkan meningkat berbanding 2024,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program ‘Sinar Kasih Ramadan Bersama Anak-Anak Asnaf’ 1447H/2026M anjuran Zakat Melaka dengan kerjasama Sinar Jernih Sdn Bhd yang disempurnakan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman di Jakel Melaka @ Astana Moda, di sini, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Shaifulfazlee Mohamad dan Pengarah Urusan Sinar Jernih Datuk Mohd Said Osman.
Tambahnya, dana zakat yang dikutip akan diurus serta dibelanjakan oleh MAIM untuk membantu golongan asnaf.
“Zakat Melaka fokus kepada mencari dana, tetapi terdapat juga program berbentuk tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilaksanakan dengan kerjasama pihak luar seperti pembelian pakaian raya kepada anak yatim serta penganjuran jamuan hari raya,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


