Sorting by

×

ZIARAH KASIH ASNAF MUALAF TANDA KEPRIHATINAN MAIM

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

BEMBAN 4 Julai – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) akan memperluaskan lagi aktiviti Ziarah Kasih Asnaf Mualaf, pada penganjuran Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) edisi yang akan datang.

Penolong Setiausaha Bahagian Balai Islam Kompleks Darul Huda MAIM, Mohd Nasir Wahab berkata, Ziarah Kasih Asnaf Mualaf adalah medium terbaik bagi pihaknya menyantuni golongan kurang berkemampuan terutama asnaf secara lebih menyeluruh.

Mohd Nasir berkata, bagi aktiviti Ziarah Kasih Asnaf Mualaf pihaknya bersama Skuad Sukarelawan Balai Islam (SSBI) akan turun padang bertujuan menyantuni sekurang-kurangnya lima keluarga asnaf di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN)

“Sumbangan disampaikan adalah dalam bentuk kewangan dan kit makanan, selain itu peluang berjumpa empat mata turut digunakan untuk mendapatkan maklumat dengan lebih jelas berhubung keperluan serta permasalahan dihadapi keluarga berkenaan.

“Menerusi lawatan ini kami menyantuni asnaf diuji dengan masalah kesihatan dan memerlukan rawatan dialisis. Kami juga singgah ke kediaman bapa tunggal menyara sembilan orang anak yang mana dua daripada zuriatnya menghidap masalah kesihatan,” katanya selepas menyantuni mualaf asnaf pada Ziarah Kasih Asnaf Mualaf sempena WRUR DUN Bemban.

Menurut Mohd Nasir, pihaknya akan mengkaji semula bentuk bantuan kepada penerima dengan mengambil kira perlbagai faktor supaya apa yang disalurkan sesuai dengan keperluan semasa asnaf dan dalam jumlah yang mencukupi.

“Contoh asnaf mualaf juga bapa kepada sembilan anak yang kami ziarah menerusi program ini, kami akan melihat semula bantuan diterima bagi meringankan bebannya, sekali gus menjalani kehidupan lebih baik. Bukan sahaja memastikan bantuan disampaikan sesuai dengan keperluan, tetapi mencukupi, jika kurang perlu ditambah.

“Selain WRUR menjadi rutin bulanan Balai Islam menerusi SSBI turun padang bagi menyantuni kira-kira 190 asnaf mualaf sekitar Negeri Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

363
Kongsi :
Previous post KETUA MENTERI PRIHATIN NASIB MANGSA RIBUT TANJUNG BIDARA
Next post ‘TERIMA KASIH KETUA MENTERI RINGANKAN BEBAN KAMI’