
ZIARAH KASIH WRUR DUN KLEBANG DEKATI KOMUNITI, SEMAI KEPRIHATINAN
KLEBANG 9 Oktober – Program Ziarah Kasih menerusi inisiatif Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang terus menjadi platform mendekati masyarakat setempat, khususnya golongan yang memerlukan perhatian.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang, Datuk Wira Lim Ban Hong berkata, program itu dilaksanakan dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta pemimpin komuniti bertujuan meninjau keperluan isi rumah terlibat.
“Kali ini kita singgah ke sembilan buah rumah, bukan sekadar menyampaikan bantuan makanan, barangan keperluan dan wang tunai, tetapi yang lebih penting ialah menerapkan nilai-nilai kasih sayang serta keprihatinan.
“Kehadiran pemimpin bersama wakil JKM sepanjang program Ziarah Kasih ini bukan sekadar menghulurkan bantuan sementara, tetapi juga menyuntik semangat kepada keluarga terbabit, termasuk kanak-kanak kurang upaya selain mereka diuji dengan masalah kesihatan kronik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Program Ziarah Kasih Sempena WRUR DUN Klebang di Bukit Rambai, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ban Hong berkata inisiatif ziarah kasih itu turut menjadi medan untuk beliau memberikan sokongan moral kepada penerima yang terdiri daripada penerima berusia 12 hingga 91 tahun.
“Kita juga mahu mereka membina semula kekuatan dengan bertanya khabar dan membuka peluang untuk meluahkan permasalahan. Jika hulurkan bantuan dalam bentuk barangan semata-mata itu cuma bersifat sementara, paling penting adalah sokongan moral dan dorongan supaya mereka terus berdaya serta bersemangat,” jelasnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.