
ZOO MELAKA GAMIT LEBIH 300,000 PENGUNJUNG TAHUN LALU
AYER KEROH 28 Januari – Zoo Melaka menerima kehadiran lebih 300,000 pengunjung sepanjang tahun lalu.
Pengarah Zoo Melaka Dr. Zahidah Izzati Zeid berkata, kebanjiran pelancong itu, antara lain bertitik tolak daripada penganjuran pelbagai program pelancongan bersakala besar oleh Kerajaan Negeri.
Justeru, katanya, bersempena Tahun Melaka Melaka 2.0 dan Tahun Melawat Malaysia 2026 tahun ini, pihaknya menyasarkan lebih 400,000 pengunjung akan menjadikan Zoo Melaka sebagai lokasi pelancongan pilihan.
“Pada tahun 2026, kita sasarkan lebih 400,000 pengunjung yang akan hadir ke Zoo Melaka sekali gus dapat merancakkan lagi Tahun Melawat Melaka 2.0 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Zoo Melaka akan melaksanakan pelbagai program dan inisiatif baharu untuk menggamit pelancong sekali gus meningkatkan minat orang ramai terhadap produk pelancongan berasaskan pendidikan dan pemuliharaan hidupan liar,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Program Zoomanji @Zoo Melaka, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Dr. Zahidah Izzati berkata, sepanjang tahun ini, Zoo Melaka yang kini di bawah pengurusan Perbadanan Ketua Menteri (CMI) akan terus berkolaborasi dengan pelbagai rakan strategik termasuk agensi kerajaan, swasta dan pemain industri pelancongan.
“Kita akan terus memastikan setiap program yang dianjurkan seimbang antara keperluan pengunjung dan kebajikan haiwan dan pada masa sama komited menyokong inisiatif pelancongan negeri,” katanya.
Tambahnya, beberapa perancangan termasuk penambahbaikan fasiliti dan pengenalan tarikan baharu turut berada dalam perancangan bagi memastikan Zoo Melaka kekal relevan dan menarik kepada pengunjung tempatan serta luar negeri.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

