
ZOO MELAKA KENA SERBU SEMPENA CUTI SEKOLAH
AYER KEROH 6 Jun – Musim cuti sekolah membawa limpahan kepada Zoo Melaka apabila menerima kehadiran lebih 11,000 pengunjung bermula 29 Mei hingga 4 Jun lalu.
Pengarah Zoo Melaka, Dr. Zahidah Izzati Zeid berkata, sepanjang musim cuti itu, pihaknya menyediakan pelbagai tarikan khas untuk menggamit kunjungan pelancong domestik dan luar negara sepanjang tempoh tersebut.
Katanya, antara tarikan khas terbabit melibatkan pertunjukkan dan interaksi haiwan; sesi interaktif bersama penjaga haiwan, selain memberi peluang kepada pengunjung berinteraksi dengan haiwan jinak di beberapa kawasan haiwan.
“Antara tarikan terbaharu adalah kita menampilkan sepasang unta yang baru dibawa masuk dan telah menjalani kuarantin.
“Selain itu, kita juga buka sesi interaktif bersama penjaga haiwan seperti harimau, singa, badak putih, tapir dan lain-lain haiwan buat pengunjung sempena cuti persekolahan kali ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Dr. Zahidah Izzati berkata, lebih menarik lagi Zoo Melaka turut memperbanyakkan lokasi ‘feeding petting’ di kawasan aviari burung, gajah, zirafah, rusa timur dan kuda belang.
“Untuk cuti persekolahan ini kita tidak meletakkan sasaran namun mengikut data yang terkumpul, jumlah pengunjung meningkat setiap hari dan mencecah lebih 3,000 orang kehadiran dalam tempoh yang singkat pada 1 Jun lalu,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.